Buletin

UMW TOYOTA MOTOR CATAT JUALAN SEBANYAK 8,004 UNIT PADA MEI, MENINGKAT 8 PERATUS

UMW Toyota Motor kekal mendominasi menerusi catatan jualan sebanyak 7,875 bagi Toyota sementara Lexus merekodkan jualan 129 unit. Secara keseluruhan, jumlah berkenaan lebih tinggi sedikit berbanding April, 6,767 unit.

Bagi jualan tahun sehingga kini untuk Mei 2023, jualan terkumpul adalah sebanyak 39,990 unit, menyaksikan pertumbuhan ketara sebanyak 8 peratus berbanding tahun ke-tarikh jualan sebanyak 36,972 unit didaftarkan setakat Mei 2022.

Bulan Mei juga menyaksikan UMWT mengambil pendekatan proaktif dalam menyediakan penyelesaian pengangkutan karbon rendah untuk memenuhi pelbagai keperluan rakyat Malaysia.

UMWT membawa masuk unit sampel kenderaan elektrik, Toyota bZ4X, bertujuan penyelidikan pasaran serta penilaian teknikal bersesuaian dengan keadaan jalan raya tempatan.

Langkah ini sejajar dengan Strategi Toyota untuk mencapai neutraliti karbon termasuk menawarkan pilihan rangkaian seperti kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV), dan kenderaan elektrik hibrid (HEV).

Perkembangan berkaitan, Lexus turut merasmikan bilik pameran mesra alamnya yang pertama di Klang termasuk melancarkan Lexus RX 350 Luxury berharga RM468,888.

Sebagai pengedar sah, PCM Klang Motor Sdn Bhd juga menyediakan peluang untuk pelanggan Toyota menaik taraf kenderaan mereka kepada model Lexus melalui program tukar beli.

Untuk bulan Jun, UMWT menawarkan promosi bernilai sehingga RM8,000 dengan Toyota Corolla ditawarkan pada ansuran bulanan mampu milik bermula daripada RM1,108, manakala Vios serba baharu menyediakan ansuran mesra bajet bermula dari RM688.

Google ads
Back to top button