Buletin

HANYA 60% PATUHI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN. TINDAKAN LEBIH TEGAS AKAN DIAMBIL – MENTERI PERTAHANAN

Hanya 60 peratus rakyat Malaysia yang benar-benar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diarahkan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Perintah yang berkuatkuasa mulai 18 hingga 31 Mac itu melarang orang ramai daripada keluar rumah tanpa sebab yang kukuh. Jika melanggar arahan, mereka boleh dikenakan hukuman yang berat.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sikap ambil mudah itu menyebabkan pasukan polis terpaksa menggerakkan anggota untuk mengawal situasi dengan mengadakan sekatan jalan. Semalam, sebanyak 504 sekatan jalan telah dilaksanakan di seluruh negara.

6,135 buah kenderaan telah diperiksa. Buat masa sekarang, pihak polis mengambil pendekatan memberi nasihat terlebih dahulu.

“Walaupun pihak kerajaan benarkan rakyat membeli barangan keperluan, saya harap cuba jarakkan diri apabila berada di kawasan ramai orang seperti di pasar atau ketika membeli makan. Jangan bawa keluarga bersama serta anak kecil seperti dimaklumkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Saya harap rakyat mematuhi perintah dikeluarkan. Tujuan perintah ini bukan untuk susahkan rakyat, tetapi untuk menjaga kesihatan dan nyawa kerana daripada laporan KKM setiap hari kes baharu bertambah,” kata Ismail.

Sekatan jalan yang dilakukan di ibu kota semalam mendedahkan bahawa majoriti pengguna jalan raya masih keluar seperti biasa. Mereka memberi alasan masuk ke daerah Dang Wangi untuk membeli barang dan makanan.

Tindakan itu jelas menunjukkan mereka mengambil sikap tidak acuh dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan semasa sekatan jalan raya di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Loke Yew, rata-rata dari mereka datang dari luar ibu negara. Misalnya, ada yang datang dari Kajang, Pandan Indah, Ampang dengan tujuan untuk makan dan membeli barang.

“Apabila ditanya mengenai arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan, nampaknya mereka sedar akan peraturan berkenaan. Tetapi mengambil sikap tidak peduli dan lalai untuk mengikut arahan berkenaan,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah.

Menurut beliau lagi, untuk peringkat awal hari ini, Polis Daerah Dang Wangi, memberikan teguran dan nasihat kepada orang ramai supaya mematuhi arahan kerajaan supaya berada di dalam rumah.

“Kita harus faham, tujuan utama kerajaan adalah untuk mengurangkan penularan dan penyebaran wabak COVID-19. Bukannya untuk menyusahkan orang ramai. Jadi kita seharusnya ambil peluang untuk saling bekerjasama dengan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Google ads
Back to top button