Buletin

HARGA MINYAK DUNIA MELONJAK, SAUDI ARAMCO KINI BERNILAI RM10.6 TRILION

Saudi Aramco berjaya mengalahkan Apple sebagai syarikat paling bernilai di dunia selepas mencatatkan kenaikan harga saham disebabkan lonjakan harga minyak dunia.

Syarikat petroleum dan gas asli dari Arab Saudi yang ditakrifkan sebagai pengeluar minyak terbesar di dunia itu kini bernilai AS$2.42 trilion (RM10.6 trilion) berdasarkan harga sahamnya pada sesi penutupan dagangan kelmarin.

Saudi Aramco baru-baru ini melaporkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 124 peratus untuk tahun lalu, beberapa jam selepas pemberontak Yemen menyerang kemudahannya dan menyebabkan penurunan sementara pengeluaran. 

“Ketika ekonomi dunia mula pulih daripada pandemik Covid-19, pendapatan bersih syarikat meningkat sebanyak 124 peratus kepada AS$110 bilion (RM482.5 bilion) pada 2021 berbanding AS$49 bilion (RM214.9 bilion) pada 2020,” kata syarikat itu. 

Sementara itu, Apple telah menyaksikan penurunan harga saham sepanjang bulan lalu dan dan kini dinilai pada harga AS$2.37 trilion (RM10.39 trilion) selepas dagangan rasmi berakhir kelmarin. 

Kemerosotan harga saham itu berlaku meskipun Apple melaporkan keuntungan yang lebih baik daripada jangkaan dalam tiga bulan pertama tahun ini di tengah-tengah permintaan pengguna yang kukuh.

Bagaimanapun, Apple memberi amaran bahawa sekatan Covid-19 yang dikenakan di China dan masalah rantaian bekalan yang berterusan akan menjejaskan keputusan prestasi syarikat bagi suku berikutnya Jun ini dengan jangkaan sebanyak AS$4 bilion (RM17.5 bilion) hingga AS$8 bilion (RM35.09 bilion).

“Kekurangan bekalan yang disebabkan oleh gangguan berkaitan Covid-19 dan kekurangan silikon memberi kesan kepada keupayaan kami untuk memenuhi permintaan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Kewangan Apple, Luca Maestri. – AFP

Google ads
Back to top button