Buletin

VOLKSWAGEN TAJA 120 UNIT TIGUAN HIGHLINE UNTUK LE TOUR DE LANGKAWI 2020

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan bahawa ia kembali menjadi rakan automotif rasmi bagi acara Le Tour de Langkawi (LTDL).

Tahun ini merupakan edisi ke-25 LTDL dan kali ketiga Volkswagen bertindak sebagai Penaja Kenderaan Rasmi sejak tahun 2016.

Sebagai rakan automotif rasmi, VPCM menyediakan 120 unit Tiguan Highline yang akan digunakan sepanjang perlumbaan oleh pelumba, marshal keselamatan dan para pegawai.

Tiguan merupakan SUV Volkswagen yang paling berjaya. Ia dilihat telah mendefinisikan semula standard baharu dari segi reka bentuk, keselesaan dan fungsi. Sehingga kini, lima juta unit Tiguan telah terjual di seluruh dunia.

Tiguan menggabungkan enjin turbo pancitan terus 1.4L TSI dengan kotak gear klac basah direct shift (DSG) untuk memberikan output luar biasa 150PS dan tork 250Nm di antara 1,500 hingga 3,500rpm.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter menyatakan pihaknya berbesar hati kerana sekali lagi dapat menjadi sebahagian daripada pertandingan lumba basikal paling terkenal di dunia.

“Kami gembira kepada dapat kembali menjadi sebahagian dari LTDL pada tahun ini ketika perlumbaan itu meraikan jubli peraknya. Kami yakin Tiguan cukup sesuai untuk memberi sokongan kepada pasukan operasi dari segi keselamatan, ketahanan, pemanduan lincah dan laju.

“Bagi pihak Volkswagen, kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelumba yang akan bersaing dalam pertandingan tahun ini.”

Le Tour de Langkawi merupakan perlumbaan basikal pelbagai peringkat yang telah menerima banyak pengiktirafan. Ia kini dikenali sebagai antara acara penting dalam kalendar perlumbaan basikal yang sentiasa menarik penyertaan pelumba terbaik dunia.

Google ads
Back to top button