
HARGA SAHAM TESLA NAIK, MUSK LAYAK TERIMA HABUAN RM2.98 BILION!
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk dilapor layak untuk menerima bayaran paling tinggi dalam hidupnya dan sejarah korporat moden.
Perkembangan itu timbul hanya selepas tiga hari Musk menyatakan harga saham syarikat pengeluar kereta elektrik itu terlalu tinggi.
Saham Tesla Inc. melonjak lebih 8 peratus pada Isnin, sekali gus membuatkan modal pasaran Tesla berada pada tahap AS$141.1 bilion (RM607 bilion) ketika dagangan ditutup.
Berdasarkan kepada analisa sata Refinitiv, purata nilai pasaran saham sebanyak AS$100.2 bilion (RM431 bilion) selama enam bulan itu penting buat Musk.

Ini kerana ia membolehkan Musk untuk membeli saham Tesla sebagai sebahagian daripada pakej pembayaran yang dipersetujuinya pada tahun 2018. Sehingga kini, dia sudahpun memenuhi dua syarat kelayakan iaitu sasaran pertumbuhan dan had purata bulanan saham.
Jadi, Musk boleh membeli 1.69 juta unit saham Tesla pada harga AS$302.02 (RM1,299) sesaham. Ketika harga saham Tesla ditutup pada harga AS$761.19 (RM3,275) sesaham, secara teorinya dia boleh menjual semua saham itu dan mendapat untung sebanyak AS$694 juta (RM2.98 bilion)!
Bayaran itu melangkauai semua ganjaran yang pernah diterima oleh mana-mana ekskutif di Amerika Syarikat. Angka itu dilihat tiba pada waktu yang ‘pelik’ ketika ekonomi dunia mengalami kemelesetan dan lebih 2.6 juta rakyat AS hilang kerja akibat wabak COVID-19.
Musk yang juga pemilik majoriti dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pembuat roeket, SpaceX tidak menerima sebarang gaji atau bonus tunai. Hanya opsyen yang dibuat berdasarkan kepada cap pasaran, pencapaian perolehan dan keuntungan pertumbuhan Tesla.
Ketika Tesla mendedahkan pakej Musk pada tahun 2018, syarikat itu menyatakan Musk secara teorinya bakal menerima habuan sehingga AS$55.8 bilion (RM240 bilion) jika tiada saham yang dikeluarkan.
Namun, Tesla telah menawarkan saham sebagai pampasan para pekerja. Tahun lalu, Tesla menjual saham dan bon boleh ubah bernilai AS$2.7 bilion (RM11.6 bilion).
12 bahagian pakej ganjaran yang diterima oleh Musk akan berlangsung sehingga 2028 dan disifatkan sebagai pelan pembayaran paling berani dalam sejarah korporat.
Dia pernah dilaporkan berkata melihat potensi Tesla untuk menjadi sebuah syarikat bernilai AS$1 trilion (RM4.3 trilion) dalam tempoh 10 tahun.
Setakat 27 April lalu, Forbes menganggarkan Musk memiliki kekayaan berjumlah AS$40 bilion (RM172 bilion). – Reuters, Forbes