Artikel Pilihan

TESLA MODEL X TERPUTUS DUA DILANGGAR NISSAN GT-R

Satu kemalangan yang agak sadis berlaku di Florida, Amerika Syarikat semalam antara sebuah Tesla Model X dan Nissan GT-R. Kemalangan yang berlaku di Hallandale Beach itu mengakibatkan kereta EV keluaran Tesla itu terputus dua selepas dilanggar oleh GT-R terbabit.

Ya putus dua terus tuan-tuan. Dah macam kereta potong pulak. Cantik je potongannya, betul-betul di belakang tempat duduk belakang dari kiri ke kanan termasuk gandar belakang dan rodanya sekali. Bayangkan kelajuan GT-R sewaktu rempuhan berlaku.

Kemalangan ini pula berlaku di kawasan Bandar di persimpangan Hallandale Beach Boulevard dan Three Islands Boulevard yang mempunyai had laju Bandar. Laju mana sangatlah had laju dalam bandar kan?

Beberapa orang saksi berkata, Nissan GT-R putih tersebut dikatakan telah melanggar lampu isyarat merah sebelum menghentam bahagian belakang Tesla Model X. Ai bang, ingat orang Malaysia je suka redah lampu merah ni.

Pemandu dan penumpang Nissan GT-R, seorang pemandu lelaki dan teman wanitanya telah dikejarkan ke hospital akibat trauma dan keduanya tidak mengalami kecederaan yang serius. Mmm… Bawak awek rupanya (korang jangan fikir bukan-bukan okey).

Menariknya pemandu Tesla itu pula sekadar mengalami luka ringan di bahagian kaki walaupun keretanya sudah terpotong dua akibat kemalangan. Dikenali dengan nama Jose Diaz, beliau menyatakan tidak melihat GT-R tersebut menghampiri dan hanya menyedari berlaku hentaman pada kereta beliau dalam sekelip mata sahaja.

Nissan GT-R tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan Tesla Model X terputus dua tapi bukan itu sahaja. Bahagian belakang Model X yang terpelanting kemudian telah menghentam sebuah Ford Mustang merah dan sebuah Volkswagen Golf. Nasib baiklah ia tidak terkena mana-mana pejalan kaki yang berada di kawasan berhampiran.

Ingat, pandu cermat jiwa selamat dan jangan poyo sangat okey. Tahulah bisnes kosmetik korang tengah top sekarang.

Google ads
Back to top button