Buletin

AMALKAN KAWALAN KENDIRI, PKPB MUNGKIN BOLEH DITAMATKAN LEBIH AWAL

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei lalu mungkin akan ditamatkan lebih awal sekiranya semua pihak mengambil tanggungjawab untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana amalan kawalan kendiri yang tinggi dapat memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

“Kerajaan ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada orang ramai atas kawalan kendiri dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. Kami harap usaha ini dapat diteruskan sepanjang masa bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

“Jika semua dapat patuhi SOP ini dan semua mengawal secara kendiri saya yakin PKP (PKPB) ini mungkin kita dapat tamatkan lebih awal daripada apa yang kita jangkakan,” katanya dalam sidang media harian semalam.

Pelaksanaan PKPB dilihat terkawal dan hampir semua SOP dipatuhi oleh orang ramai. Laporan yang disediakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat peningkatan pergerakan di seluruh negara, namun masih berada di tahap yang baik.

“Jangkaan (sesetengah pihak) bahawa premis-premis perniagaan akan sesak dan tiada pematuhan SOP seperti penjarakan sosial jelas meleset. Hasil laporan pemantauan mendapati premis-premis perniagaan mengamalkan SOP yang ditetapkan.

“Tinjauan dalam pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) juga mendapati pengguna mengamalkan penjarakan sosial selain memakai topeng hidung dan mulut,” jelas Ismail Sabri. – Astro Awani

Google ads
Back to top button