Buletin

HELAH BALIK KAMPUNG NAIK KERETA YANG DITUNDA GAGAL

Segelintir rakyat Indonesia dilihat masih berdegil dan ingkar terhadap larangan pihak berkuasa negara itu yang tidak membenarkan mereka untuk balik kampung atau mudik.

Pelbagai cara dilakukan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Terbaharu ialah  yang berlaku di Kota Semarang, Sabtu lalu.

Memetik laporan portal Kompas, sebuah trak tunda yang mengangkut kenderaan diarahkan berpatah balik ke Kota Semarang, Jawa tengah.

Ini selepas rahsianya terbongkar apabila pemeriksaan dibuat mendapati empat orang lelaki berada dalam kenderaan yang ditunda trak berkenaan.

Bagi mengelak mereka dikesan, kenderaan yang ditunda itu ditutup dengan sehelai kain.

Menurut Ketua Perhubungan Kota Semarang, Endro P Martanto kejadian itu berlaku pada jam 10 pagi di sekatan jalan raya di Taman Unyil bersempadan wilayah Semarang.

“Memandangkan lalu lintas sesak, kami tidak sempat bertanya destinasi mereka. Kami terus mengarahkan mereka supaya berpatah balik ke Kota Semarang,” katanya.

Berikutan insiden tersebut, Endro mengingatkan orang ramai mematuhi arahan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Patuh arahan pemerintah. Tangguh dahulu balik kampung,” katanya.

Kerajaan Indonesia sebelum ini menguatkuasakan larangan mudik iaitu tradisi pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Cuti umum perayaan itu juga telah diubah ke bulan Disember.

Setakat semalam, Indonesia telah merekodkan 12,071 kes jangkitan COVID-19 dengan 872 kematian. – Kompas

Tags
Google ads
Back to top button