
HONDA ACCORD GEN 11 MASUK JEPUN PADA 2024, ENJIN HIBRID 2.0 e:HEV
Honda Accord generasi kesebelas diperkenal pada November 2022 dan sudah pun dipertonton di Indonesia dan dipaparkan di laman web Honda Thailand.
Bagaimana dengan pasaran tempatan? Honda Malaysia telah mengesahkan Accord tidak akan dibawa ke pasaran tempatan.
Tiada alasan diberikan namun boleh dilihat dari segi minat pengguna yang terarah kepada kenderaan utiliti sukan (SUV) dan selari dengan pasaran dunia.
Di sebalik perubahan citarasa, Honda akan menawarkan Accord baharu di Jepun dan sudah berkongsi maklumat awal.
Tempahan awal dibuka pada Disember 2023 dan diedarkan pada musim bunga 2024 yang bermula pada Mac.
Accord adalah model yang bersejarah dan sejak generasi pertama diperkenal pada 1976 berubah seiring dengan masyarakat dan dilengkapi pelbagai ciri-ciri terkini dan canggih.
Reka bentuk Accord baharu tampil ringkas seperti beberapa generasi terdahulu. Accord tidak mempunyai garisan atau lekukan dramatik dan nampak kemas.
Accord dibuat mengikut falsafah “Kereta yang harmoni dengan masyarakat dan masa” dan dikekalkan sejak generasi pertama.
Dari gambar boleh dilihat bentuk Accord yang rendah dan lebar. Bahagian depan walaupun ringkas nampak garang dengan lampu LED nipis dan bukaan jeriji.
Bahagian sisi jelas kelihatan gaya sportback dengan ukuran panjang 4.97 meter. Belakang kereta dihiasi lampu yang bersambung dan nampak lebar.
Bahagian dalam kereta juga ringkas tanpa skrin yang menonjol keluar dari papan pemuka dengan tema melintang dan bahan lembut serta kemasan berkualiti tinggi.
Mengikut trend semasa, dalaman kereta meriah dan berwarna dengan lampu suasana.
Walaupun nampak ringkas, Accord dilengkapi paparan Honda CONNECT 12.3 inci dengan sistem Google Built-in, skrin instrumen 10.2 inci dan papar pandu (HUD) yang bersamaan 11.5 inci.
Sistem Honda CONNECT memudahkan banyak perkara dan melalui aplikasi telefon pintar boleh membuat tetapan seperti penyaman udara, kunci digital dan pelbagai lagi.
Sistem Google Built-in pula adalah yang pertama untuk kenderaan Honda di Jepun dan dilengkapi fungsi seperti Google Assistant, Google Maps, Google Play dan sebagainya.
Dari maklumat yang dikongsi, Accord pasaran jepun digerakkan nadi e:HEV yang menggabungkan enjin 2.0 liter dan dua motor elektrik.
Pasaran Amerika Syarikat (AS) lebih meriah dengan tambahan enjin 1.5 liter turbo. Dari segi kuasa, enjin 2.0 liter pasaran Thailand menghasilkan 147 ps pada 6,100 rpm dan tork 182Nm pada 4,500 rpm.
Motor elektrik pula menghasilkan 135kW (184ps) dari 5,000 hingga 8,000 rpm dan tork 335Nm dari 0 hingga 2,000 rpm. Kuasa keseluruhan e:HEV ialah 207ps.
Dari segi keselamatan, Accord juga model pertama di Jepun yang dilengkapi sistem Honda SENSING 360 baharu. Sistem ini menggunakan sensor kamera depan dengan sudut cerapan sekitar 100 darjah.
Di antara fungsi baharu seperti Amaran Lintasan Kenderaan Depan, Pencegahan Pelanggaran Ketika Menukar Lorong dan Sokongan Penukaran Lorong.
Berkenaan harga, Honda belum berkongsi dan biasanya hampir dengan pelancaran rasmi.
- BACA: HONDA PROLOGUE, SUV ELEKTRIK DENGAN JARAK PANDU SEHINGGA 482 KM!
- BACA: ENJIN V8 BF350 VTEC DARI HONDA, BUKAN UNTUK KERETA TAPI ENJIN SANGKUT!
- BACA: HONDA MONKEY DAN SUPER CUB C125 TERUS DITAWAR DI AS
- BACA: HONDA N-BOX GENERASI KETIGA DIPERKENAL DI JEPUN, REKAAN SAMA TETAPI TIDAK SERUPA!
- BACA: 5 SEBAB HONDA CITY HATCHBACK, LEBIH BAGUS DARIPADA CITY SEDAN
- BACA: LEBIH 3.5 JUTA SIRI HONDA N LAKU DI JEPUN, N-BOX SAHAJA 2.3 JUTA UNIT!
- BACA: INI KOS SERVIS HONDA WR-V, SERENDAH RM 268 SAHAJA