Buletin

HONDA WR-V FIELD EXPLORER DAN HONDA ACCORD e:HEV SPORTS LINE SERLAH SISI BERBEZA!

Honda WR-V pasaran Jepun berbeza dengan model Asean. WR-V Jepun adalah Honda Elevate versi India. Kedua-dua WR-V Jepun dan Asean tidak sama dari segi saiz dengan model Jepun lebih besar.

Segenap segi lebih besar sebagai contoh, WR-V Jepun berukuran panjang 4,325 milimeter (mm) berbanding 4,060 mm, lebar 1,790 mm (1,780 mm) dan tinggi 1,650 mm (1,608 mm).

Jarak roda berukuran 2,650 mm (2,485 mm) dan satu lagi yang ketara ialah saiz ruang bagasi 458 liter berbanding 380 liter pada WR-V Asean.

Walaupun berbeza saiz, kedua-duanya menggunakan nadi sama iaitu 1.5 liter i-VTEC L15ZF dengan kotak gear CVT atau manual enam kelajuan.

Dari segi reka bentuk pula, WR-V Jepun tampil lebih bersegi dan nampak rugged berbanding gaya urban yang dibawa WR-V Asean.

Ciri tersebut diserlahkan lagi pada model WR-V Field Explorer yang dibawa ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2024.

BACA: HONDA ODYSSEY 2024 DENGAN KIT HONDA ACCESS!

Model konsep WR-V membawa gaya lasak dengan aksesori tulen Honda dan beberapa perkakasan khas.

Bahagian depan nampak garang dengan kelongsong lampu yang digelapkan dan perkakasan hitam lain seperti jeriji, bingkai lampu kabus dan pendakap bawah bampar. 

Lampu jeriji dan lampu kabus warna kuning menaikkan seri depan. Logo H diganti dengan perkataan Honda dan sesuai digunakan pada kenderaan lasak.

Imej hitam diteruskan pada bahagian tepi dengan rim dan pendakap sisi hitam. Menonjolkan gaya kembara ialah tayar lasak dan rak barangan di atas bumbung.

Sebuah lagi model yang dibawa ke TAS 2024 dan berbeza daripada tema lasak ialah Accord e:HEV Sports Line. 

Sama seperti WR-V, Accord generasi kesebelas akan memasuki pasaran Jepun pada 2024.

Accord baharu sudah berada di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand dan tidak seperti generasi sebelum, sedan ini tidak ditawarkan di pasaran tempatan.

Seperti namanya, Accord yang dibawa ke TAS 2024 menggunakan enjin 2.0 liter hibrid. Accord Jepun juga canggih dengan teknologi Honda Sensing 360 baharu.

Untuk pasaran Jepun, Honda Access menawarkan dua kit istimewa dan dikenali sebagai Accord Touring Line dan Accord Sports Line.

Bezanya, Accord Sports Line menggunakan perkakasan warna Crystal Black Pearl pada spoiler, skirt depan, sisi dan belakang. Rim 19 inci dan perumah cermin sisi diwarnakan Berlina Black. 

Turut istimewa riasan pada dapra yang memaparkan logo Accord. Selain WR-V dan Accord, Honda mempamerkan sejumlah lagi kereta termasuk Civic Type R istimewa.

Honda WR-V Field Explorer:

Honda Accord e:HEV Sports Line:

Google ads
Back to top button