Buletin

HONDA BANGUNKAN MODEL SEL BAHAN API HIDROGEN DARI CR-V!

Pernah bayangkan kereta yang diisi dengan hidrogen? Bukan lagi angan-angan, sudah ada beberapa model di pasaran yang menggunakan hidrogen untuk bergerak di atas jalan raya.

Sebagai contoh, Honda FCX Clarity yang menggunakan teknologi sel bahan api hidrogen elektrik (FCEV) dikeluarkan sejak tahun 2008 dan ditawarkan secara pajakan.

FCX juga merupakan kenderaan sel bahan api  produksi pertama di dunia dan diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun secara komersial pada tahun 2002.

Honda terus menunjukkan kesungguhan di dalam bidang ini selepas memperkenalkan Clarity baharu pada tahun 2015 dan dikeluarkan pada tahun berikutnya.

Bukan sahaja menggunakan sel bahan api hidrogen, Clarity dikembangkan kepada model elektrik dan plug-in hibrid.

Beberapa tahun di pasaran, pengeluaran Clarity ditamatkan pada tahun 2021.

Apa perancangan Honda seterusnya? Honda baru sahaja mengumumkan untuk mengeluarkan FCEV yang dibina dari CR-V!

Model itu akan mula dikeluarkan pada tahun 2024 di Pusat Pengeluaran Prestasi (PMC) yang terletak di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat.

PMC adalah kilang pengeluaran yang memfokuskan kepada model khas seperti NSX dan pelbagai model Acura.

Model itu akan menyumbang kepada sasaran Honda untuk menjual 100 peratus kenderaan elektrik bateri (BEV) dan FCEV menjelang tahun 2040.

Apa yang menarik ialah model itu menggabungkan teknologi plug-in dan FCEV yang membolehkan pengguna mengecas seperti kenderaan elektrik atau diisi dengan hidrogen.

Teknologi gabungan itu satu penyelesaian pintar memandangkan stesen pengisian hidrogen masih belum dibina secara meluas.

Honda tidak mendedahkan banyak maklumat dan akan dibuat menjelang pengenalan model itu pada 2024.

Penggunaan CR-V sebagai asas juga dilihat satu strategi tepat memandangkan ianya model popular di AS.

Kelebihan FCEV terletak pada teknologi janaan yang tidak menghasilkan karbon dioksida (CO2) dan hanya mengeluarkan air dan haba.

Selain itu, pengisian hidrogen hanya memerlukan beberapa minit dan pengguna tidak perlu menunggu lama.

Hidrogen diisi di dalam tangki dan elektrik dijana di dalam sel bahan api yang turut menggunakan oksigen bagi memacu motor elektrik.

BACA: HONDA HR-RS e:HEV, CROSSOVER HIBRID YANG SUNGGUH MENGUJAKAN

BACA: KENAPA GEAR MANUAL BUATAN HONDA SANGAT BAGUS DAN PALING SERONOK DIGUNAKAN?

BACA: HONDA PILOT 2023 DIPERKENAL DI AS, BESAR DARIPADA CR-V!

Google ads
Back to top button