
MIATA V8 OFFROAD – SIAPA PERLUKAN HURACAN STRERRATO
Sebagai kaki kereta sudah tentu kami sendiri dan ramai lagi di luar sana yang meminati pelbagai kategori kenderaan. Ada yang minat model sport, sedan, SUV, 4×4 dan macam-macam lagi. Tapi macam kami yang tinggal di rumah teres ni macam mana? Pakir pun muat sebuah kereta je. Kalau beli 4×4 takkan nak pakir atas jalan. Ini mungkin jalan penyelesaiannya. Beli Miata convert jadi kenderaan off-road. Masalah selesai. Masalah dengan JPJ kita fikir lain kali.

Miata kali ni menggunakan andi V8 dan dilengkapi dengan lift kit dan tayar off-road. Bab gaya dah menang tanpa bertanding. Sekarang ni semua web permotoran tengah up dengan Lamborghini Huracan Sterarrato yang boleh main lumpur. Itu model mahal dan ramai yang cuma mampu tengok. Ini Miata lama, takdelah murah sangat tapi takdelah cecah jutaan ringgit harganya.
Ia juga tidak kelihatan seperti model off-road hardcore yang diasaskan dari trak pikap dan SUV tapi jauh kelihatan lebih bergaya dan sporty. Pada pandangan kami la. Mak mertua mungkin tak minat nak tumpang tapi kita bukan nak bawa dia pun. Hahaha.

Enjin 302ci V8 Ford memang agak gedabak membuatkan bonet hadapan terpaksa dipotong sedikit untuk menempatkan penapis udara. Buka je enjin tu jelas kelihatan penutup injap Ford Racing dan sistem pendawaian yang cukup kemas membuktikan ini adalah kerja professional dan bukannya mengikut piawaian SopiMotosepot.
Bahagian depannya memang cukup ganas dengan kelengkapan bull bar gergasi mengalahkan muncung kapal perang dan skid plate untuk melindungi enjin dan radiator dari serangan hadapan.
Penggunaan rim-rim Bassett bersaiz 14 inci yang kemudian dipadankan dengan tayar-tayar Forceum 27×8.5 inci memang kena betullah dengan imej baharu Miata ni.

Kuasa dihantar ke gandar belakang menggunakan kotak gear manual 5-kelajuan dan differential berukuran 7.5 inci. Penggunaan lift kit Paco Motorsport dan sistem suspensi Toxico memastikan kenderaan off-road jadian ini berfungsi dengan sempurna.
Lampu utama digantikan dengan unit LED dan dibantu oleh lampu KC HID pada bahagian bumbung untuk pencahayaan yang lebih baik ketika diperlukan.
Bahagian luar je kukuh tak guna juga kalau untuk kegunaan off-road. Jangan bimbang sebab Miata ini turut dilengkapkan dengan roll bag keluaran Hard Dog di bahagian dalam untuk melindungi pemandu dan penumpang. Mana la tau kan? Asyik melompat sekali tergolek pula dengan tayar menghadap ke atas.

Okey, nampak menarik tapi berapa harga kereta ni? Buat masa sekarang ia ditawarkan untuk jualan dengan harga USD14,000 (RM61,500 lebih kurang). Tapi itu tidak termasuk cukai la kalau nak bawa masuk ke Malaysia. Apa macam? Berminat?