Buletin

HONDA PILOT 2023 DIPERKENAL DI AS, BESAR DARIPADA CR-V!

Sejak kebelakangan ini Honda begitu aktif memperkenalkan model baharu. Satu persatu diperkenalkan dan terbaru giliran Honda Pilot di Amerika Syarikat selepas Honda WR-V di Indonesia.

Honda Pilot yang diperkenalkan ini adalah model generasi keempat sejak pertama kali memasuki pasaran pada 2002.

Dari segi kedudukan, Pilot berada di atas CR-V dengan saiz yang lebih besar. Honda mempunyai sebuah lagi SUV di Amerika Syarikat iaitu Passport dengan saiz lebih kurang sama seperti Pilot.

Untuk model terbaru ini, Honda telah merekabentuk Pilot menjadi SUV paling besar dan berkuasa di dalam sejarah syarikat dan SUV keluarga dengan gaya ‘rugged’.

Selain empat varian Pilot 2023, Honda turut menawarkan Pilot TrailSport yang merupakan SUV Honda dengan keupayaan off-road paling berkebolehan pernah dihasilkan.

Maklumlah, Amerika Syarikat adalah negara yang luas dengan pelbagai jenis permukaan bumi.

Honda Pilot digerakkan enjin 3.5 liter DOHC V6 yang menghasilkan 285 kuasa kuda (hp) pada 6,100 rpm dan tork 355 Nm pada 5,000 rpm dan dipadan bersama transmisi automatik sepuluh kelajuan.

Enjin itu dilengkapi teknologi Variable Cylinder Management™ (VCM™) yang membantu dari segi penjimatan bahan api dan pengurangan emisi.

Ada empat mod pemanduan iaitu Normal, ECON, Sport, Trail, Snow, Sand dan Tow. TrailSport dan varian semua roda (AWD) EX-L, Touring dan Elite dilengkapi mod Sand dan Trail.

Dari segi pacuan, Pilot TrailSport dan Pilot Elite dilengkapi sistem torque vectoring i-VTM4 AWD generasi kedua sebagai ciri standard.

Pembeza belakang (differential) mampu menampung 40 peratus tambahan daya kilas dan memberikan tindak balas 30 peratus lebih pantas.

Ciri itu dapat mengoptimumkan cengkaman yang ada di dalam semua keadaan terutama sekali di dalam keadaan licin dan off-road.

Daya kilas enjin boleh dihantar sehingga 70 peratus kepada gandar belakang dan 100 peratus daya kilas tersebut boleh dibahagikan kepada roda belakang kanan atau kiri.

Dari segi keupayaan, model AWD boleh menunda beban sehingga 2,268 kilogram (kg).

Saiz Pilot tidak sama seperti model terdahulu dengan jarak roda bertambah 2.8 inci kepada 113.8 inci untuk pemanduan lebih lancar.

Trek roda juga lebih lebar dengan pertambahan 1.1 inci hingga 1.2 inci di depan dan 1.4 inci hingga 1.5 di belakang bagi meningkatkan kestabilan.

Bergantung kepada varian, ukuran panjang Pilot ialah 199.9 inci (5,077 mm) hingga 202.2 inci (5,085 mm), tinggi 70.9 inci (1801 mm) hingga 72.0 inci (1,829 mm) dan lebar 78.5 inci (1,994 mm).

Pada bahagian dalam, ruang kargo di belakang kerusi baris pertama mempunyai kapasiti 3,219 liter dan 635 liter di belakang kerusi baris ketiga.

Reka bentuk depan Pilot selari dengan model terbaru Honda dan mengingatkan kepada CR-V baharu.

Bahagian tepi terutama sekali tiang C seperti CR-V generasi kedua dan membawa kembali ciri Pilot generasi pertama dan kedua.

Sebagai varian lasak, Pilot TrailSport didatangkan secara eksklusif dengan suspensi talaan off-road yang merangkumi kekenyalan gegelung, penalaan injap peredam berbeza dan bar penstabil khas.

Selain itu, varian ini seinci lebih tinggi untuk pendakian, penurunan dan pelepasan tengah di laluan mencabar.

Pilot TrailSport juga SUV pertama dipasangkan tayar serba rupa bumi (AT) untuk cengkaman lebih baik di laluan off-road.

Tayar jenis Continental TerrainContact AT itu berukuran 265/60R18 dan berkebolehan digunakan di atas permukaan pasir, selut dan salji.

Turut dipasang plat kelincir (skid plate) bagi melindungi komponen bawah seperti takungan pelincir, transmisi dan tangki petrol dan menariknya direka dengan kerjasama para jurutera Honda Powersports.

Keupayaan Pilot TrailSport juga boleh dilihat di dalam mod Trail dengan sistem trail torque logic mengurangkan gelinciran roda dan mengekalkan cengkaman melalui sistem torque vectoring i-VTM4 AWD.

Warna biru atau Diffused Sky Blue yang dipaparkan di dalam artikel ini khusus untuk Pilot TrailSport sahaja.

Dari segi keselamatan, kesemua varian dilengkapi teknologi Honda Sensing dan lapan beg udara. Tidak perlu menunggu lama, jualan Honda Pilot di Amerika Syarikat bermula pada Disember 2022.

BACA: PANDU UJI: HONDA CIVIC e:HEV, KUASA MACAM TAK AKAN HABIS!

BACA: HONDA PROLOGUE SUV ELEKTRIK HONDA, ATAS DARIPADA CR-V

BACA: HONDA STEP WGN LAKU! LEBIH 27 RIBU TEMPAHAN DALAM SEBULAN DI JEPUN

Honda Pilot TrailSport dan Honda Pilot Elite:

Google ads
Back to top button