Pandu Uji

HONDA HR-RS e:HEV, CROSSOVER HIBRID YANG SUNGGUH MENGUJAKAN

Sesetengah kereta keluarga apabila dipandu uji oleh penulis, jarang sekali ia meninggalkan kesan yang cukup mendalam sehingga apabila sampai di rumah, penulis akan membuka laman sesawang untuk melihat harga kereta ujian dan mencongak anggaran kasar bayaran bulanan.

Salah satu SUV atau crossover yang menggamit penulis untuk melihat tanda harga dan berangan ialah Honda HR-V e:HEV yang baru dilancarkan oleh Honda Malaysia. Sebaik sahaja crossover ini tersedia untuk dipandu uji, maka penulis dengan pantas membuat tempahan slot pandu uji dan pulang ke kampung bagi melalui jalan raya Grik-Jeli.

Dengan harga jualan RM 140,800, Honda HR-V e:HEV merupakan varian termahal yang ditawarkan oleh Honda Malaysia. Tapi ia datang dengan tork paling tinggi iaitu 253Nm seawal 0RPM berbanding varian turbo 240Nm pada 1700 RPM

Bagi Honda HR-V generasi ke 3 ini, kod cesi model ini dikenali dengan nama RV menggantikan kod cesi RU yang lama dan digunakan oleh generasi kedua. Hanya nama HR-V dan pembuka pintu belakang yang tersebunyi saja antara ciri dikekalkan dari model generasi kedua, manakala keseluruhan rekaan luar dirombak semula

Bahagian depan tidak lagi menggunakan formula Solid Wing Face dengan rekaan krom sinonim yang menghubungkan antara lampu depan kiri dan juga kanan. Sebaliknya generasi ke tiga HR-V menampilkan rekaan jeriji terapung dengan 6 sudut pada bahagian bingkai.

Logo Honda dengan warna biru yang menunjukkan model ini adalah model mesra alam diapungkan di bahagian tengah jeriji. Di bahagian jeriji bawah barulah anda akan jumpa satu kemasan krom yang menghubungkan lampu kabus LED kiri dan kanan yang berwarna putih disusun dalam bentuk kiub.

Secara peribadi penulis memang sukakan rekaan depan Honda HR-V yang baru ini, tampak lebih bergaya dengan satu lagi garis seakan-akan ritma jantung (Amp Up Heartbeat) yang berwarna merah. Disebabkan HR-V ini adalah varian RS, ia menerima kemasan skirt berwarna hitam berkilat di bahagian depan.

Skirt hitam berkilat ini akan bersambung dengan bahagian sisi plastic cladding dan juga bampar belakang. Rim 18 inci yang digunakan diberikan warna hitam sepenuhnya, dibalut dengan tayar Continental Ultra Contact 6 menyerlahkan lagi imej ranggi Honda HR-V.

Bahagian sisi HR-V pula hanya menerima satu garisan shoulder line yang tegap dari bahagian depan ke belakang. Cukup kemas dan tidak serabut sama seperti Honda Civic generasi terbaru. Bagi mebolehkan HR-V merentas laluan tidak rata dengan jarak kelegaan permukaan jalan dinaikkan 26mm menjadikannya 196mm.

Lampu LED di bahagian depan menerima perumah lampu (housing) berwarna hitam, tapi bahagian dalam lampu dibahagikan kepada 3 bahagian dengan menggunakan krom berkilat. Nampak kemas dan menarik elemen sporti yang cuba diterapkan oleh Honda

Berbeza dengan model lama yang berusaha untuk nampak seakan sebuah coupe 2 pintu dengan tiang C di bahagian belakang menjadi terlalu rendah, model baru direka dengan konsep yang lain sedikit. Konsep crossover ala-ala coupe masih dikekalkan dengan menyembunyikan tombol pintu rapat ke ke tiang C dengan penggunaan plastik hitam.

Tapi tiang C dianjak lebih tinggi dan panjang ke belakang bagi memberikan bukaan pintu yang lebih luas serta besar. Secara tidak langsung ia turut menjadikan ruang kabin dalam terutama di bahagian belakang lebih luas dan lapang berbanding dengan model lama.

Bahagian tiang C ini disudahkan dengan lampu belakang LED yang berwarna cerah melintangi di bahagian belakang, diikuti dengan skirt berwarna hitam berkilat di bahagian bawah bampar dan juga disulami dengan krom berkilat.

Pintu ruang kargo boleh diakses dengan menggunakan alat kawalan jauh ataupun butang bagi mengaktifkan power tailgate secara automatik. Pada hemat penulis, ruang sebesar 335 liter ini sebenarnya sudah cukup untuk anda melainkan anda baru sahaja mendapat bayi atau memerlukan ruang yang lebih besar untuk membawa beg-beg yang lebih banyak.

Pilihan yang ada ialah dengan melipat penyandar kusyen belakang bagi membebaskan ruang sbesar 1274 liter. Pilihan yang ketiga ialah anda boleh melipat tempat duduk barisan kedua ke atas dengan menggunakan ciri Ultra Seat bagi meletakkan barang yang tinggi di belakang

Honda adalah antara pengeluar kenderaan mini Kei-car yang sangat pandai bermain dengan ruang termasuklah Honda HR-V ini. Semua barang boleh disusun dengan baik disebabkan lantai platform yang rata dan berjaya dihasilkan dengan meletakkan tangki petrol di bahagian tengah dengan kompak.

Berikut ialah ciri-ciri moden yang berjaya diterap masuk oleh Honda pada model HR-V ini:

1. Corong penyaman udara ditambah di bahagian belakang iait ciri yang tiada pada model HR-V lama

2. Terdapat 2 poin USB berada di bawah corong penyaman udara belakang sekali dengan tempat untuk meletakkan telefon sewatu dicaj. 2 lagi poin USB disediakan di bahagian papan pemuka

3. Konsol tengah direka dengan lebih luas dengan membuang rekaan lama yang tinggi dan sporti tapi sempit. Jadi anda akan terasa HR-V baru ini lebih lapang dan luas

4. Papan pemuka rekaan baru diberikan ciri penyaman udara Air Diffusion System di bahagian tepi kiri dan kanan. Sistem ini akan memberikan aliran udara ala-ala anda menaiki kereta tanpa bumbung

5. Suis penyaman udara diberikan suis mekanikal rotari bagi menggantikan suis tanpa butang yang agak sukar digunakan ketika memandu. Turut diberikan ialah ciri penyaman udara dengan 2 zon suhu berbeza

6. Unit multimedia menggunakan skrin 8 inci dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto. Seperti biasa bunyi pembesar suara standard Honda boleh dikatakan sedap juga dan tidak menyebabkan musik menjadi pecah jika dipasang dengan kuat

7. Ciri kamera pandang belakang disediakan bersama-sama dengan 3 mode tetapan sudut pandang. Sistem ini akan beroperasi dengan penderia undur belakang. Tapi sayangnya HR-V tidak menawarkan ciri kamera 360 darjah

8. Kusyen yang disediakan jauh lebih sedap berbanding kusyen yang ada pada Honda Civic terbaru. Ia lebih empuk, menyediakan sokongan pada rusuk kiri dan kanan ketika mengambil selekoh tajam dan anda akan duduk tinggi sedikit berbanding dengan Civic

9. Kusyen juga dibalut dengan kemasan kulit sepenuhnya, dijahit dengan benang berwarna merah bagi memberikan tema sporti termasuklah penggunaan benang merah pada roda stering dan juga tombol gear

10. Disebabkan model ini adalah hibrid dengan rekaan 2 motor, enjin 1500cc 4 silinder i-VTEC hanya menghasilkan sekitar 104 kuasa kuda dan 127Nm tork pada 4500RPM. Enjin ini ada 2 tugas utama iaitu mengecas bateri sistem hibrid jika berkurangan dan menggerakkan kereta pada halaju tinggi dengan satu sambungan klac khas dengan gear ratio sama seperti gear 6 pada kereta manual

Enjin ini akan mengecaj bateri sistem hibrid 60 sel 1.1kWh pada halaju rendah, dengan satu lagi motor elektrik bertugas menerima kuasa daripada bateri. Untuk pemanduan di bandar, kebanyakan fungsi untuk bergerak diambil alih oleh motor elektrik.

Motor ini menjana 253Nm tork seawal 0 RPM dan maksimum 129 kuasa kuda. Jadi untuk anda yang tidak biasa, tork yang dihasilkan sangat kuat dan anda perlu berhati-hati ketika menekan pedal minyak terutama ketika keluar daripada simpang 3

Anda tidak boleh memilih samaada untuk menggunakan bateri atau enjin dalam pemanduan anda kerana sistem akan menentukan operasi enjin. Kadangkala bila kereta dihidupkan, enjin mati dan anda akan bergerak dengan kuasa elektrik semata-mata. Dalam 5km perjalanan, mungkin enjin akan hidup untuk 1 km bagi mengecaj bateri dan mati semula

Pengendalian dan Pengalaman Pemanduan

11. Honda HR-V e:HEV mampu membuat pecutan 0-100km/jam dalam masa 10.7 saat (8.8 saat untuk HR-V turbo) dan halaju maksimum ialah 170km (200km/jam untuk varian turbo). Namun di atas jalan raya, anda akan menghargai tork motor yang datang lebih awal bagi membolehkan anda memotong dan mendaki bukit dengan pantas dan cepat.

12. Walaupun kalah dari segi pecutan dan halaju maksima, Honda HR-V e:HEV akan menang dari segi penggunaan bahan api dengan bacaan maksima 24.4km/liter mengikut ujian dalaman Honda (15.3km/liter bagi versi petrol)

13. Tapi ujian sebenar di atas jalan raya dengan halaju maksimum 120km/jam dan sesekali memecut sehingga 140km/jam memberikan bacaan sekitar 20.5km/jam dengan gaya pemanduan agresif oleh penulis. Rasanya kalau penulis pandu ikut halaju kebangsaan, mungkin boleh dapat lebih daripada 24.4km/liter

14. Dari segi prestasi, walaupun menggunakan enjin yang sama seperti Honda City e:HEV dan tork motor elektrik yang sama iaitu 253Nm tork, kuasa yang dihasilkan lebih terasa pada HR-V RS. Ketika mendaki bukit di jalanraya Grik-Jeli, HR-V tidak habis nafas seperti City e:HEV.

Pecutan yang dibuat lebih keras dan puas diikuti dengan bunyi sporti dari enjin dan ekzos. Dari segi kuasa membrek, pada hemat penulis ia sudah mencukupi dengan semua roda mendapat brek cakera . Tapi pada kebanyakan masa, penulis banyak menggunakan brek regeneratif sebelum memasuki selekoh terutama selekoh tajam jalan Grik-Jeli

15. Terdapat 2 Decelerator Pedal di bahagian belakang roda stering, satu untuk menguatkan kesan brek regeneratif (bertanda -) dan satu ntuk mengurangkan kesan brek (bertanda +). Memang best layan selekoh dengan menggunakan pedal ini dengan 4 tetapan brek

Ini bermakna setiap kali anda jumpa selekoh, anda akan cuba menyesuaikan kadar brek mengikut ketajaman selekoh dan laju yang sesuai. Brek ini akan mengecaj bateri sistem yang boleh digunakan untuk memecut keluar dari selekoh dengan pantas.

Pemandu di belakang mungkin akan kagum dengan anda, masuk selekoh tak tekan brek sebab lampu brek tak menyala dan bila keluar dari selekoh pecutan 253Nm tork membuatkan anda bagaikan pemandu pro, macam pemandu F1.

16. Selain itu juga, cesi Honda HR-V juga telah dikeraskan dari segi lateral rigidity sebanyak 10%, torsional rigidity sebanyak 5% dan kekerasan sistem suspensi ditambah sebanyak 5%. Dengan gabungan sistem stering Variable Gear Ratio, memang terasa nikmat betul bila masuk selekoh dengan laju

Tindakbalas cesi terhadap input stering juga adalah pantas bagaikan anda memandu jentera go kart. Tapi apa yang magiknya ialah suspensi Honda HR-V tetap selesa bagaikan memandu jentera Continental walaupun menggunakan susensi geometri torsion beam sahaja di bahagian belakang

Jika melanggar lubang, jalan tidak rata atau bonggol jalan, roda bahagian belakang berupaya menyerap sebarang gegaran dan mengasingkan pergerakan tayar daripada cesi dengan baik. Rahsianya terletak pada penggunaan pelapik getah yang diisi dengan cecair hidraulik pada komponen cesi bahagian belakang

17. Dalam aspek keselamatan, Honda HRV e:HEV RS dilengkapkan dengan semua ciri keselamatan Honda Sensing yang merangkumi Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Brek Kecemasan Automatik dengan Amaran, Auto High Beam, Lead Car Departure, Sistem Pemanduan Adaptive dengan Low Speed Follow.

18. Cuma kelemahan Honda HR-V ialah selain tidak menyediakan kamera 360 darjah, penderia parkir depan juga tidak diberikan menjadikan proses memarkir kenderaan agak sukar bagi penulis yang biasa dengan kedua dua ciri tersebut. Malah dengan ketiadaan sistem Rear Cross Traffic Alert, anda juga sukar untuk mengundurkan kereta di jalan yang sesak

Namun kelemahan yang ditonjolkan oleh Honda HR-V ini masih boleh dimaafkan dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan membuatkan anda lupa dengan kelemahan HR-V. Apatah lagi ia merupakan jentera mesra alam dan sangat menjimatkan bahan api

Macam ni, dunia akan berubah kepada kenderaan berkuasa elektrik tidak lama lagi. Samaada anda suka atau tidak, kita tak boleh menolak hakikat perubahan yang melanda. Jika anda mahukan sebuah crossover yang berkuasa separuh elektrik, separuh enjin dengan pengalaman pemanduan mengujakan maka Honda HR-V patut berada dalam wish list anda.

Google ads
Back to top button