Motosikal

HONDA CB150R ExMotion LAKUKAN DEBUT DUNIA DI THAILAND!

Kita sedia maklum bahawa pasaran motosikal di Thailand memang sangat meriah.

Tidak kira apa jua segmen, para pengeluar motosikal terutama dari Jepun sentiasa menawarkan produk baru demi memastikan jenama mereka kekal relevan dalam pasaran yang cukup besar itu.

Semalam, pengedar rasmi motosikal di Thailand, A.P. Honda Co., Ltd. melakukan premiere dunia untuk model Honda CB150R ExMotion serba baharu.

Tampil dengan imej café racer, sporbike itu sebenarnya dinspirasikan daripada model 150SS Racer Concept yang pernah dipertontonkan kepada umum sebelum ini.

Seperti namanya, jentera tersebut dijana oleh enjin bersesaran 150cc DOHC 4 injap generasi 2017. Ia turut dilengkapi elemen daripada motosikal berkuasa tinggi Honda seperti omboh disadur molybdenum, sistem penyejukan cecair, teknologi PGM-FI, selain mematuhi piawaian Euro6.

Kuasa enjin itu kemudian disalurkan ke roda menerusi gear enam kelajuan untuk prestasi tunggangan yang lancar.

Menurut Presiden A.P. Honda Co., Ltd., Yoichi Mizutani semua motosikal Honda direka dengan berhati-hati untuk menjadikannya lebih sempurna.

“Pasukan jurutera yang membangunkan model RC211, RC213V-S dan supersport seperti CBR600RR ialah pakar dalam sportbike. Mereka mampu memindahkan DNA sportbike kepada CB150R ExMotion,” jelas Mizutani.

Bentuk badan Honda CB150R ExMotion direka supaya titik graviti dekat dengan penunggang. Seterusnya membuatkan motosikal ini lebih ringan dan mudah dikendalikan.  

Lebih menarik lagi, spesifikasinya seperti sebuah jentera berkuasa tinggi. Misalnya suspensi jenis upside-down, angkup brek empat pot dan ABS dengan G Sensor itu diambil daripada model CBR1000RR.

Honda juga telah bekerjasama dengan jenama aksesori terkenal Jepun termasuklah Moriwaki, G’Craft dan Kitaco untuk menghasilkan item istimewa bagi membuatkan CB150R ExMotion semakin menyerlah.

Jentera itu jelas mendapat maklum balas positif dan menjadi fenomena di Thailand. Hanya selepas dua hari teaser disiarkan, klip videonya telah ditonton sebanyak satu juta kali.

Untuk makluman, Honda ialah peneraju pasaran motosikal di Thailand selama 18 tahun berturut-turut dengan jualan kumulatif hampir 1.5 juta unit.

“Dalam masa lima hari, lebih 1,000 unit telah ditempah walaupun pelanggan tidak pernah melihatnya secara dekat. Ini jelas menunjukkan keyakinan mereka ke atas jenama Honda,” kata Naib Presiden A.P. Honda Co., Ltd. Suchart Arunsaengroj.  

CB150R ExMotion kini sudah boleh didapati di cawangan Honda Wing Center di Thailand. Model standard didatangkan dalam empat warna iaitu kelabu, merah, hijau dan hitam dengan harga pengenalan bermula 109,800 baht (RM14,150)

Tiga model edisi terhad turut ditawarkan. 500 unit CB150R Street Café ditawarkan pada harga bermula 135,200 baht (RM17,400). 1,000 unit CB150R Scramble Café berharga 118,400 baht (RM15,250) dan 500 CB150R edisi Moriwaki akan mula dijual pada Oktober 2017!

Google ads
Back to top button