Buletin

HONDA CIVIC TYPE R DIJUAL SECARA RASMI DI FILIPINA – DARI RM252,000!

SHARE
New Triton 4Sure Power -MREC – Desktop

Filipina berada dalam gagasan ASEAN dengan gabungan populasi yang sudah melebihi 630 juta. Walaupun banyak berkongsi ciri-ciri sama seperti negara ASEAN lain, terdapat satu perkara yang 100 peratus langsung berbeza.

Kenderaannya dipandu pada sebelah kiri atau dalam erti kata lain, sama seperti di Amerika Syarikat.

Satu lagi persamaan dengan AS ialah, Honda Civic Type R turut dijual di Filipina dan ia merupakan model rasmi pertama di sana. Bermula 10 Julai lepas, Honda Cars Philippines, Inc. (HCPI) telah mula mengambil pesanan dari pelanggan seterusnya menjadikannya negara pertama di ASEAN menawarkan model itu.

2017 adalah ulang tahun ke-25 jenama Type R sejak ia perkenalkan di dunia. Dalam tempoh lebih dua dekad, Type R adalah lambang kepada kemuncak prestasi model yang diwakilinya daripada Civic hingga kepada Integra.

Model-model Type R berpegang kepada beberapa konsep utama seperti pengurangan berat dan memaksimumkan kuasa, responsif, kestabilan dinamik dan prestasi membrek yang mensasarkan untuk memberi pengalaman pemanduan menyeronokkan sama ada di litar atau jalan raya biasa.

Walaupun sudah banyak model hebat dikeluarkan, Civic Type R baharu ini dibangunkan untuk menjadi Type R pertama yang bersifat global. Jadi, tidak hairanlah ia pertama kali dipasarkan di AS mahupun di Filipina.

Civic Type R dikuasakan oleh enjin 2.0 liter VTEC TURBO dengan output kuasa maksimum 310 PS pada 6,500 rpm dan tork puncak 400 Nm dari 2,500 rpm hingga 4,500 rpm. Enjin itu digabungkan dengan transmisi enam kelajuan manual yang mempunyai padanan rev (rev match) supaya kereta kekal berkuasa semasa tukaran enjin dilakukan.

Mereka yang mahu bermain dengan rev secara tradisional iaitu heel and toe pula boleh memadamkan fungsi tersebut pada sistem talaan kereta walaupun dalam apa jua mod pemanduan dipilih. Kereta ini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu +R, Sport, and Comfort.

Salah satu ciri hebat pada Civic Type R ialah sejak dari dahulu lagi ia dipacu oleh dua roda hadapan (FWD). Dengan pacuan itu juga menjadikan Civic Type R sebagai kereta FWD terpantas di Nürburgring Nordschelife sehingga kini. Rekod tersebut dilakar pada 3 April 2017 dengan masa tujuh minit dan 43.8 saat.

Walaupun kereta ini hebat dari segi prestasi, Honda tidak melupakan tentang ciri-ciri keselamatan. Sejumlah kelengkapan keselamatan dibekalkan seperti enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan  Anti-Lock Braking System (ABS) dengan Electronic Brakeforce Distribution (EBD).

Menjual tidak semestinya memerlukan kuantiti. Honda Civic Type R ini dibawa untuk sekadar ada di Filipina dengan 100 unit dahulu. Itu sudah memadai kerana gegak gempita atau kesedaran jenama Honda sama nilainya dengan membawa masuk model massa (mainstream) lain.

Lagi pula, kenderaan berprestasi berada dalam pasaran niche sejak sekian lama. HCPI menawarkan Honda Civic Type R dalam dua warna iaitu Championship White and Rallye Red pada harga PHP 2,980,000 atau bersamaan RM 252,128.10.

Lagi bacaan menarik tentang Honda dan Civic Type R:

HONDA MALAYSIA AKAN LANCAR CIVIC TYPE-R TAHUN INI?

HONDA ACCORD GENERASI KESEPULUH KINI SUDAH TIBA – GUNA ENJIN CIVIC TYPE R!

Tags
Google ads
Back to top button
Close