Buletin

MINI JOHN COOPER WORKS CLUBMAN & COUNTRYMAN – BERMULA RM 328,888

MINI Malaysia hari ini memperkenalkan MINI John Cooper Works Clubman dan MINI John Cooper Works Countryman baharu. 

Jentera tersebut disifatkan sebagai model MINI paling berkuasa serta eksklusif pernah dibina.  Ia dilancarkan pada acara MINI Track Days 2017 yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

“Hari ini, kita meraikan ulang tahun John Cooper yang ke-94. Jadi, kami berbesar hati untuk memperkenalkan dua model MINI John Cooper Works yang membawa bersama DNA prestasi tinggi,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai BMW Group Malaysia, Han Sang Yun.

MINI memperlihatkan pertumbuhan yang sangat positif dalam segmen kompak di Malaysia. Pada tahun 2016, MINI Malaysia telah menyerahkan lebih 900 unit kenderaan dan merekodkan pertumbuhan sebanyak 19% berbanding prestasi tahun sebelumnya.

Untuk separuh pertama tahun 2017, MINI menyerahkan lebih 460 kenderaan, kenaikan sebanyak 9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sebagai jenama ketiga terbesar dalam segmen premium di Malaysia, kami harap dapat mengekalkan pertumbuhan ini di dalam industri, memandangkan kami telah menawarkan varian-varian baharu daripada keluarga MINI,” kata Ketua MINI, Kidd Yam.

Reka bentuk: Gayaan sebuah jentera lumba

Gayaan yang menyerlah pada bahagian luaran MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman baharu meliputi bodykit aerodinamik John Cooper Works. Selain rim John Cooper Works Course Spoke bersaiz 19 inci berwarna hitam (Burnish Black), gril John Cooper Works, bumbung dan perumah cermin sisi berwarna merah (Chili Red), pelekat badan merah, spoiler belakang, paip ekzos besi tahan karat, ketutup sisi (Side Scuttles) serta Sil Pintu John Cooper Works.

Beralih ke ruang dalamannya, tempat duduk sport John Cooper Works didatangkan dengan upholsteri kulit Dinamica berwarna hitam dan jalur merah. Jentera ini dikendalikan menerusi stereng John Cooper Works yang dibalut kulit dan dikawal oleh pedal besi tahan karat.

Prestasi 

Kedua-dua varian John Cooper Works baharu ini menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter dengan Teknologi MINI TwinPower Turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 231hp dan tork 350Nm.

MINI John Cooper Works Clubman berupaya mencapai kelajuan 100km/j dalam masa hanya 6.3 saat. Sementara MINI John Cooper Works Countryman dapat melakukan perkara sama dalam tempoh cuma 6.5 saat.

Enjin tersebut kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan Steptronic Sports. Padanan itu memberikan MINI John Cooper Works Clubman baharu tahap penggunaan minyak sekitar 7.2 liter bagi setiap 100 kilometer.

Manakala MINI John Cooper Works Countryman pula menawarkan gabungan penggunaan minyak sekitar 7.4 liter untuk setiap 100 kilometer.

Mode Pemanduan

Mode Pemanduan standard MINI membolehkan kenderaan ditala berdasarkan kepada kondisi jalan rata dan kecederungan pemandu. Dengan memutar suis rotari pada bahagian bawah gear atau tuil pemilih, pemandu boleh mengaktifkan talaan SPORT, MID dan GREEN.

Mode ini mengubah lengkuk karekteristik pedal pendikit dan stereng. Selain akustik enjin dan karekteristik transmisi Steptronic sports 8 kelajuan. Khas untuk MINI John Cooper Works Countryman baharu, talaan Kawalan Peredam Dinamik ada ditawarkan.

Suspensi sports yang khusus untuk MINI John Cooper Works Clubman baharu pula menampilkan talaan sistem suspensi dan peredam yang lebih keras.

Sistem brek yang dibangunkan khas untuk kedua-dua model John Cooper Works ini direka hasil kerjasama dengan pakar pengeluar brek Brembo.

Sistem Dynamic Stability Control memastikan cengkaman yang optimum ketika memecut, lincah sewaktu mengambil selekoh dan selamat apabila kenderaan diperlahankan. Fungsi-fungsinya termasuklah Dynamic Traction Control (DTC), Electronic Differential Lock Control (EDLC).  Ciri Performance Control pula menjanjikan pengendalian lincah apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Sistem pacuan semua roda ALL4

MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman baharu merupakan model generasi terkini yang dilengkapi sistem pacuan semua roda ALL4 sebagai satu ciri standard. Agihan kuasa tork di antara roda hadapan dan belakang yang dikawal secara elektronik. Bukan itu sahaja, sistem ALL4 memastikan tahap cengkaman terbaik dan kestabilan pemanduan yang optimum dalam  apa jua cuaca serta permukaan jalan raya.

Sistem kawalan pintar ALL4 akan sentiasa mengira agihan keseimbangan kuasa yang ideal di antara roda hadapan dan belakang. Jadi, kuasa enjin boleh disalurkan ke roda yang betul secara efektif untuk memberi cengkaman dan pemanduan yang menyeronokkan.

Fungsi dan peralatan baru

Model-model baharu MINI John Cooper Works dipasang dengan Paparan Head-Up berkonstras tinggi. Ia memaparkan semua maklumat penting yang diperlukan oleh pemandu – kelajuan, kedudukan gear, masa terbaik untuk menukar gear dan paparan rev.

Navigasi 3D boleh dioperasi menerusi skrin bersaiz 8.8 inci, di mana fungsi pisahan skrin membolehkan dua paparan peta dibuat masa yang sama. Buat pertama kalinya, skrin ini boleh dioperasi menggunakan teknologi skrin sentuh menerusi MINI Tounch Controller pada konsol tengah. Beberapa ciri lain yang turut ditawarkan ialah MINI Connected, Ketersambungan Bluetooth, storan 20GB untuk muzik dan gegelung LED pada instrumen tengah.

Satu lagi fungsi baru pada model-model MINI John Cooper Works ialah MINI Find Mate yang boleh membantu memantau apa sahaja yang dimahukan oleh pemandu. Ia hadir dengan dua tag Bluetooh yang boleh diletakkan pada beg atau kunci.

Dari segi hiburan, sistem bunyi Harman Kardon telah direka dan dipasang agar sesuai dengan ruang kabin kereta. Dengan kuasa 410-watt, sistem bunyi itu menjanjikan pengalaman mendengar muzik yang luar biasa.

Sistem bunyi tersebut terdiri daripada empat unit pembesar suara julat sederhana pada pindu hadapan dan belakang. Selain dua unit bass tengah yang disimpan kemas di bawah tempat duduk hadapan.

Model-model baharu MINI John Cooper Works juga tampil dengan ciri Parking Assist yang membantu memarkir MINI di ruang selari secara automatik. Manakala urusan untuk masuk dan keluar dari ruang yang sempit kini semakin mudah dengan kamera undur, satu ciri standard untuk varian MINI Clubman dan Countryman ALL4 baharu.

Model-model baharu MINI John Cooper Works menampilkam pancaran Logo MINI Yours. Logo MINI akan dipancarkan ke tanah dari cermin sisi bahagian pemandu setiap kali kereta dikunci atau dibuka. Eksklusif untuk MINI John Cooper Works Countryman, satu kerusi piknik yang boleh dilipat keluar dari but menawarkan tempat duduk yang selesa di atas ruang penyimpanan barang.

Model-model baharu MINI John Cooper Works didatangkan dalam warna hijau dan hitam.  Warna perak putih] ditawarkan secara eksklusif untuk MINI John Cooper Works Clubman. Manakala warna putih pula khas untuk MINI John Cooper Works Countryman.

Bantuan Tepi Jalan MINI 

MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman didatangkan dengan program bantuan tepi jalan oleh MINI Malaysia selama lima tahun. Sah untuk semua kenderaan MINI baharu, program itu hadir bersama senarai perkhidmatan yang komprehensif termasuklah Bantuan Telefon Kemalangan dan On the Spot Hotline, 24 Jam, 365 hari setahun, servis tunda percuma, penyelesaian perkhidmatan mobiliti dan servis penghantaran pulang.

Model-model MINI John Cooper Works hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan selama 4 tahun dan servis berjadual percuma. Anggaran harga runcit (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tanpa insurans) ialah:

MINI John Cooper Works Clubman – RM328,888

MINI John Cooper Works Countryman – RM348,888

Google ads
Back to top button