Buletin

KIA EV6 GT-LINE LONG RANGE KINI DI MALAYSIA. 320HP/605NM, 0-100KM/J 5.2 SAAT. BERMULA RM300K. SERAHAN Q3 2022

Kereta elektrik yang paling ditunggu-tunggu, Kia EV6 akhirnya tiba di Malaysia. Melakukan premiere dunia pertama pada Mac 2021, jentera itu terus menerima pelbagai anugerah berprestij di seluruh dunia termasuklah European Car of the Year 2022. 

Pengedar tunggal kenderaan jenama Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd. mengumumkan bahawa EV6 sudah boleh ditempah.

Buat masa sekarang, ia hadir dalam satu varian sahaja iaitu GT-Line AWD (Long Range). Penyerahan kepada pelanggan dijangka bermula suku ketiga 2022, bergantung kepada bekalan kenderaan dan alat ganti dari Korea Selatan. 

EV6 merupakan satu model penting buat Kia kerana ia mengetengahkan inspirasi reka bentuk yang berani, kejuruteraan progresif, teknologi inovatif dan prestasi elektrik yang mengujakan. Ia juga menjadi model elektrik pertama Kia yang dibangunkan di bawah falsafah reka bentuk baharu dan platform EV khas.  

EV6 ialah model BEV pertama dibangunkan di atas platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) serba baharu. Jentera itu digerakkan oleh dua motor pada gandar hadapan dan belakang dengan kuasa 320hp dan tork maksimum 605Nm.

Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa cuma 5.2 saat. Bateri berkapasiti 77.4 kWh mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 506km dengan sekali caj penuh. 

Fleksibiliti sistem pengecasa Integrated Charging Control Unit (ICCU) membolehkan EV6 menawarkan fungsi vehicle-to-load (V2L). Maksudnya, ia boleh mengecas peralatan elektrik lain sehingga 3.6kWh 

Dibina dengan falsafah reka bentuk  “Opposite United”, ia tampil futuristik. Ini dapat dilihat dengan jelas pada rekaan lampu nyalaan siang DRL Digital Tiger face, lampu sequential dan gril Tiger Nose era elektrifikasi.

Profail sisi pula jelas menunjukkan reka bentuk crossover dengan garis-garis tajam dan aerodinamik. Sementara bahagian belakang tampil dramatik dengan rekaan bar lampu LED.

EV6 didatangkan dengan pengecas AC mudah alih sebagai ciri standard. EV berkenaan menggunakan kabel pengecasan Type 2 untuk AC dan CCS2 bagi pengecasan pantas (DC).

Masuk ke ruang kabin, keluasannya hampir sama dengan kebanyakan SUV saiz sederhana. Papan pemuka dihuni oleh skrin infohibur bersaiz 12.3 inci dengan ketersambungan multi-Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto. Tidak ketinggalan, pad pengecasan tanpa wayar. 

Lebih menarik, jentera itu dilengkapi sistem audio Meridian dengan 14 unit pembesar suara. Dari segi ruang kargo, ia seluas 520 liter apabila kerusi belakang digunakan. Manakala ruang kargo hadapan seluas 20 liter, cukup untuk menyimpan kabel pengecas. 

Tidak berkompromi dari segi keselamatan, EV tersebut dilengkapi tujuh beg udara, ABS, ESC, sistem Safe Exit Assist, Traction Control System (TCS), Electronic Brake-Force Distribution (EBD), Brake Assist (BA), ISOFIX dan  Hill-start Assist Control (HAC) sebagai ciri standard. 

Tidak cukup? RV6 juga didatangkan dengan ciri High Beam Assist (HBA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Assist (RCCA), Blind-Spot View Monitor (BVM), Lane Keeping Assist (LKA), Driver Attention Warning (DAW), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan Junction Turning, Following Assist (LFA) dan Smart Cruise Control (SCC).

Urusan parkir kini lebih mudah dengan Surround View Monitor (SVM) yang memaparkan pandangan 360 darjah. Pelanggan juga boleh mengeluarkan EV6 dari ruang parkir yang sempit dengan menggunakan sistem Remote Smart Parking Assist (RSPA).

EV6 hadir dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan dan boleh anda miliki pada harga bermula RM299,888 seunit. Ia ditawarkan dalam warna hitam, putih, merah, biru dan kelabu.

EV itu juga didatangkan bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000km (mana-mana tiba dahulu) Jaminan bateri pula sehingga tujuh tahun atau perbatuan sejauh 150,000km.  

GALERI

Google ads
Back to top button