
TOYOTA GR YARIS, BILA KERETA RALI DIHOMOLOGASI SEBAGAI KERETA JALANAN
Ada banyak perbezaan antara Toyota Yaris dan juga Toyota GR Yaris walaupun kedua-dua kereta dihasilkan dan dijual dibawah jenama Toyota. Bagi pasaran Malaysia, Toyota Yaris yang dijual di sini berkongsi platform XP150 dengan kembar sedan iaitu Toyota Vios
Bagi Toyota Yaris yang dijual di Eropah, Toyota menghasilkan kereta kompak 5 pintu ini dengan menggunakan platform TNGA-B dan platform XP 210. Sama seperti Toyota Yaris XP 150, Toyota Yaris XP 210 untuk pasaran Eropah mengenakan suspensi topang McPherson di bahagian depan dan torsion beam di bahagian belakang
Bagi pemanduan harian biasa, torsion beam adalah OK dan boleh diterima. Tapi kalau anda memerlukan jentera untuk perlumbaan, maka anda perlukan tetapan suspensi yang lebih dinamik seperti Double Wishbone atau MultiLink untuk roda belakang. 2 pintu di bahagian belakang juga mesti dibuang untuk lebih kompetitif.
Agaknya inilah dilema yang dihadapi oleh Akio Toyoda dulu sewaktu ingin menceburi perlumbaan rali WRC. Nak pakai Yaris XP210 mungkin lebih realistik dari segi kewangan, tapi jentera perlumbaan yang dihasilkan tidak cukup kompetitif. Silap silap Myvi pun tapau ikat tepi

Tambahan pula platform tersebut hanya menggunakan torsion beam di bahagian belakang dengan pacuan depan serta transmisi CVT. Rekaan 5 pintu yang asal dalah lebih praktikal untuk kegunaan harian, tapi tidak sesuai untuk perlumbaan.
Persetankan semua isu ini, buat sahaja satu platform baru untuk perlumbaan rali dan penuhi sahaja syarat homologasi iaitu jentera yang berlumba mestilah dihasilkan sebanyak 2500 unit dan dijual dalam masa 12 bulan.
Projek ini direstui oleh Akio Toyoda dan lembaga pengarah Toyota Motor Corporation. Sebanyak 25,000 unit kereta rali homologasi ini dihasilkan, 10 kali ganda berbanding syarat FIA. Daripada jumlah ini, 128 unit tiba di Malaysia dalam varian Competition pack.
127 unit habis terjual dalam masa kurang 3 minggu dan hanya 1 unit sahaja tinggal untuk pandu uji media iaitu unit siri 000 walaupun harganya menjangkau RM 287,000 bagi setiap unit. Bagi Akio Toyoda, projek ini sangat penting kerana ia adalah pure blood Toyota.

Ini kerana Toyota selalu menerima kecaman daripada peminat terhadap kereta sport buatan mereka. Toyota GR Supra dikritik kerana dihasilkan dengan kerjasama BMW. Toyota GR 86 pula dikutuk kerana kerjasama antara Subaru dan Toyota. Disebabkan kritikan ini percuma dan tak perlu bayar, kerja mengkritik Toyota adalah senang.
Jika Toyota hendak menghasilkan sebuah kereta sport, falsafah rekaan dan kejuruteraannya akan dicurahkan pada Toyota GR Yaris. Akio Toyoda bukan berseorangan dalam usaha ini, sebaliknya mendapat bantuan kepakaran teknikal dari juara 4 kali rali WRC dunia iaitu Tommi Makkinen
Rekaan Toyota GR Yaris ini sangat unik kerana menggunakan platform bespoked iaitu bahagian depan kekal menggunakan platform Yaris XP210 dengan suspensi topang McPherson. Platform belakang pula dikahwinkan dengan platform TNGA-C dan menggunakan suspensi double wishbone
Kalau anda perhatikan bettul-betul, GR Yaris masih menggunakan 4 komponen daripada Yaris XP 210 seperti lampu depan, lampu belakang, cermin sisi dan juga antena sirip yu. Malah dari jauh, rekaan asas GR Yaris hampir kelihatan sama melainkan ia diberi perincian yang jauh lebih baik

Di bahagian depan diberikan jeriji Functional Matrix Grille dengan bukaan besar bagi menggalakkan kemasukan udara ke corong penyejuk brek dan juga unit intercooler. Lampu depan diberikan ciri DRL LED dan juga lampu kabus LED serta disematkan dengan lencana GR.
Untuk bahagian sisi, anda akan nampak dengan jelas rim yang dihasilkan dengan teknik tempaan BBS bersaiz 18 inci, cakera brek dengan angkup brek berwarna merah menyala, dan bumbung yang dihasilkan daripada CFRP (carbon fibre reinforced plastic) berwarna hitam yang direndahkan 95mm dari Yaris XP 210
Untuk di bahagian belakang, GR Yaris diserikan dengan dengan 4 tip ekzos, spoiler berwarna hitam, dan ruang kargo sebesar 174 liter. Untuk tujuan agihan berat sekata, bateri 12 Volt diletakkan di bahagian ruang kargo belakang, secara tepatnya di ruangan bawah tempat tayar simpanan.
Jika anda angkat hud depan, pintu ruang kargo dan pintu maka anda akan perasan bahawa komponen ini sangat ringan kerana dihasilkan daripada aluminium. Disebabkan GR Yaris ini dihasilkan dengan Competition Pack, ia turut datang dengan tayar Michelin Pilot Spot 4S, Torsen Limited Slip Differential, Stabliser Bar dan Penyerap hentak ditala untuk prestasi

Bagi unit yang dipandu uji oleh kami, GR Yaris ini turut menerima skirt depan, skirt sisi, skirt belakang, serta Vortex Generator yang dipasang pada atas spoiler belakang. Semua aksesori ini berwarna hitam berkilat, sangat kontra dengan warna Platinum White Pearl. Semua aksesori ini dijual oleh UMW Toyota.
GR Yaris dikuasakan dengan enjin G16E GTS 3 silinder 1600cc dengan, skrol tunggal dengan alas bebola besi, intercooler sejukan udara bagi menghasilkan 257 kuasa kuda dan 360Nm tork. Rod penyambung dihasilkan dengan kaedah forging, piston sejukan semburan jet minyak pelincir, sistem pemasaan VVT-iW dan unit suntikan bahan api D4S.
Malah untuk menghapuskan gegaran, ia dipasang dengan 4 pengimbang berat pada aci engkol. Pendek kata, apa sahaja teknologi yang Toyota ada akan disumbat pada enjin ini. Maka tak hairanlah bagi versi rali enjin ini menjana 374 kuasa kuda dan 425Nm tork
Adakah enjin 3 silinder ini bergegar macam enjin Kancil? Langsung tidak, malah enjin ini sangat liar dan meligat pantas melebihi 3000 RPM dimana tork maksima enjin diperah. Tekan sedikit sahaja pedal minyak, reaksi yang dibuat ialah RPM akan naik mendadak seperti anda menukar gear yang lebih rendah

Pujian juga patut diberikan pada transmisi manual 6 kelajuan dengan penukar gear pendek. Cuba anda tukar gear manual dari gear 4 kepada gear 5 ketika enjin diperah pada 6500 RPM dan laju kenderaan mencecah 1XXkm/jam. Memang satu nikmat dunia yang sukar digambarkan dengan kata-kata apabila saraf tangan dapat merasai penukaran gear yang berkualiti
Ada 3 mode pemanduan yang disediakan samaada Normal, Sport atau Track. Ciri ini dihasilkan dengan penggunaan sistem GR-Four Sport 4WD (pacuan semua roda) dengan sistem klac yang memberikan agihan kuasa enjin pada tayar depan samaada 60:40, 30:70 atau 50:50
Disebabkan penulis lebih biasa dengan pacuan depan, maka mode Normal sentiasa digunakan. Satu lagi ciri menarik pada GR Yaris ialah kehadiran brek tangan mekanikal, membolehkan anda menarik brek ini ketika selekoh untuk melakukan aksi drift. Awas jangan buat kalau anda tak pandai
Jika anda menarik brek ini sewaktu sedang memandu, sistem coupling LSD akan memutuskan sambungan klac bagi membenarkan brek tangan beroperasi. Pendek kata, ini jentera ralli yang sah untuk anda pandu di jalan raya. Bukan sekadar hot hatch acah acah laju.

Jangan risau pasal klac keras kerana klac GR Yaris amat mesra pengguna, malah penulis bagi jaminan nenek anda boleh pandu kereta ini. Sewaktu pandu uji, penulis tidak pernah menyebabkan enjin stall dan mati walaupun sudah 3 tahun tidak memandu kereta manual. Jika anda pandai, boleh buat teknik heel and toe.
Teknik ini bertujuan memastikan operasi enjin kekal tinggi sewaktu menukar gear dengan menekan pedal brek dan menekan pedal minyak dalam satu masa. Kalau anda tak pandai, tekan sahaja butang intelligent Manual Transmission yang akan mengaktifkan ciri ini secara elektronik. Setiap kali anda menukar gear, enjin akan diperah 1500 RPM secara automatik.
Katakan anda berada di gear 4 pada 3000 RPM, anda tekan klac untuk turun ke gear 3 maka sistem i-MT ini akan menekan pedal minyak sehingga 4500 RPM. Jadi bila anda sudah berada di gear 3, RPM kekal 3000 dan tork berada di tahap maksima untuk pecutan seterusnya
Malah kedudukan aturan nisbah gear juga disusun cantik, anda akan kekal berada di 3000 RPM pada semua gear. Siapa sangka kereta sekecil ini boleh membayangi kereta yang lebih berkuasa di lebuh raya walaupun kekal di gear 5. Faktor keseronokan pemanduan kereta ini mungkin pada skala 10

Dari segi Ride atau keselesaan pula hanya 1 mode tetapan spring, kekerasan penyerap hentak dan bar anti oleng yang diberikan. Walaupun ini kereta lumba, ia tidaklah terlalu keras sehingga menjadikan pemanduan harian tidak selesa, tapi sesekali bila terjumpa lubang di jalan raya terasa juga henjutan dari penyerap hentak
Nasihat kami, gunakan kereta ini di jalan yang biasa dilalui oleh Menteri dan kami pasti jalan tersebut tiada lubang. Disebabkan sistem pacuan semua roda, sistem suspensi prestasi tinggi double wishbone dan tayar Michelin Pilot Sport 4S maka anda boleh buat aksi yang luar biasa di selekoh
Masuk selekoh pada halaju melebihi 3 digit dengan sedikit brek? Boleh. Masuk selekoh tanpa menukar gear dan hanya mengawal pedal minyak? Boleh. Masuk selekoh dan potong kereta lain di sebelah luar disebabkan mereka malas nak ke tepi? Pun boleh. Yang tak boleh ialah kereta biasa yang cuba kejar GR Yaris di selekoh
Hentikanlah sebelum kereta anda terbabas kerana cengkaman GR Yaris di selekoh amat luar biasa, bagaikan keretapi laju Shinkansen mengambil selekoh laju di atas rel. Body roll atau olengan pada tepi cesi langsung tidak terasa menjadikan anda yakin dengan kemampuan GR Yaris.

Satu perkara yang membantu Yaris di selekoh ialah dimensinya yang kompak dimana panjang keseluruhan ialah 3995mm dan jarak antara roda ialah 2560mm. Jarak wheelbase yang pendek membantu penukaran arah kereta di selekoh dengan cepat tapi bagi kereta biasa rekaan sebegini akan menyebabkan masalah pitching berlaku di jalan lurus pada halaju tinggi
Pitching ini berlaku bila jarak antara roda terlalu pendek, terdapat gerakan dari bahagian belakang cesi ke arah depan dan dari depan ke belakang. Macam bot dilambung ombak. Tapi apa yang magik, masalah ini tidak berlaku pada GR Yaris. Ia kekal tenang di laluan lurus, memecut bagaikan juara.
Sistem brek pula dibekalkan dengan angkup brek GR berwarna merah dan Ventilated slotted disc yang dihentikan dengan 4 piston depan dan 2 piston untuk brek belakang. Jangan terkejut kerana kuasa brek GR Yaris boleh tahan, tambah-tambah bila sistem brek kecemasan automatik diaktifkan oleh pakej keselamatan Toyota Safety Sense
Ia juga lengkap dengan Lane Centering Assist, Lane Departure Warning, Auto High Beam dan juga sistem Adaptive Cruise Control. Apa yang bagus dengan sistem ACC ini ialah, ia tidak akan dinyahaktifkan walaupun anda menekan klac dan menukar gear. Tapi jika anda menekan pedal brek, sistem ini akan terbatal.

Ciri ini bagus kerana anda boleh menukar gear, memecut sedikit untuk memotong kenderaan perlahan dan kembali kepada halaju asal anda tanpa perlu menetapkan kembali halaju yang dikehendaki. Selain itu, pengalaman pemanduan diserikan lagi dengan ciri Apple Car Play, Android Auto dan penyaman udara 2 zon
Malah ruang tempat duduk belakang masih boleh memuatkan 2 penumpang dewasa dengan selesa untuk perjalanan jarak dekat tanpa perlu membengkokkan kepala atau duduk bersila di atas kusyen. Anda juga boleh memasang 2 kerusi keselamatan kanak-kanak di bahagian belakang
Kusyen depan GR Yaris ini walaupun direka dengan kusyen ala-ala bucket untuk perlumbaan, tapi ia merupakan kusyen terbaik yang pernah dirasai oleh pemandu. Sokongan di bahagian belakang, upper back, lower back dan juga pinggang memang sedap dan cukup lembut.
Cuma di sebalik kecanggihan GR Yaris ini ada beberapa kelemahan rekaan seperti posisi rekaan cermin sisi kurang bagus dengan titik buta yang besar di bahagian sisi. Ia diburukkan lagi dengan ketiadaan sistem amaran titik buta dan ketiadaan ciri Rear Cross Traffic Alert membuatkan anda perlu sangat berhati-hati ketika mengundurkan kenderaan dari parkir

Hanya ada 1 poin pengecas untuk telefon anda iaitu di skrin unit multi media. Tapi untuk kebanyakan pemilik, mereka beli GR Yaris bukan untuk mengecas telefon atau ke pusat membeli belah. Mereka ingin menikmati keseronokan jentera rali di atas jalan raya, secara sah.
Ambil contoh baka rali yang lain seperti Audi Sport Quattro, Lancia Delta Integrale, Mitsubishi Evo 6 dan Ford Escort RS semuanya dihasilkan untuk perlumbaan dan perlu dijual bagi memenuhi syarat homologasi. Anda nak beli, maaf sebab semua sudah habis terjual.
Kalau anda bernasib baik mungkin boleh jumpa di pasaran Recondition dengan harga yang hampir sama atau lagi mahal tapi cuba semak betul-betul adakah ia unit Competition Pack. Terima kasih Akio Toyoda kerana menghasilkan Toyota GR Yaris