Buletin

HONDA FREED MENANG JAPAN CAR OF THE YEAR 2024-2025! MAZDA CX-80 KE-2

Anugerah Japan Car of the Year (JCOTY) menarik untuk diikuti. Kereta buatan Jepun mempunyai ramai peminat dan jika tidak dijual secara rasmi di pasaran tempatan dibawa masuk pengimport bebas.

Perkembangan di sana sedikit-sebanyak mempengaruhi minat dan pembelian serta menambah pengetahuan semasa.

Tahun lalu Toyota Prius mengungguli JCOTY 2023 – 2024 dan menariknya si kecil Mitsubishi Delica Mini menang anugerah reka bentuk. Ciri-ciri yang dibawa kedua-dua model menunjukkan keputusan tepat.

Kini tiba untuk anugerah terbaru dan Honda Freed diperakui sebagai pemenang JCOTY 2024 – 2025.

Meraikan ulang tahun ke-45, pihak penganjur berkumpul di ibu pejabat Bosch baharu di Center Kita, Bandar Yokohama.

Majlis pengiraan undi dan penyampaian hadiah dihadiri seramai 59 juri, perwakilan dari 41 penerbitan automotif dan gaya hidup yang paling berpengaruh di Jepun dan para eksekutif dari industri kereta.

Sebelum keputusan akhir berlaku persaingan di antara Freed, van mini yang berorientasikan keluarga dan Mazda CX-80, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menawan.

Keputusan berpihak kepada Freed dengan 220 undian berbanding 196 undian untuk CX-80.

Berdasarkan ulasan penganjur, selain keselesaan dalaman dan kemudahan penggunaan, Honda berjaya meningkatkan tahap dinamik dan menambah keseronokan pemanduan.

Satu lagi tarikan utama pada Freed ialah sistem hibrid e:HEV yang digunakan. Freed merupakan terjemahan sempurna kepada falsafah M.M. (Man Maximum, Mecha Minimum) Honda.

Selain e:HEV, Honda juga menawarkan enjin 1.5 liter i-VTEC dengan kotak gear eCVT. Honda turut menawarkan kit Honda Access dan menarik dengan konsep bandar dan gaya hidup luar.

Dari segi sambutan, Honda menerima lebih 38,000 tempahan Freed dalam tempoh sebulan.

MINI Cooper (BMW Corporation) menduduki tempat kedua dengan 172 undian dan anugerah Kereta Import Tahunan buat kali kedua berturut-turut.

Untuk Anugerah Reka Bentuk, Mitsubishi Triton berjaya mengejutkan ramai dengan 11 undian dan hanya satu mata di depan BYD Seal. 

Honda CR-V e:FCEV menang Anugerah Teknologi manakala Anugerah Khas diberikan kepada teknologi rotari e-Skyactiv R-EV Mazda.

Senarai sepuluh kereta terbaik dan undian Anugerah Japan Car of the Year 2024 – 2025:

  1. Honda Freed: 220
  2. Mazda CX-80: 196
  3. MINI Cooper: 172
  4. Suzuki Fronx: 110
  5. Lexus LBX: 70
  6. Hyundai IONIQ 5: 52
  7. Toyota Land Cruiser: 44
  8. BYD Seal: 32
  9. Volvo EX30: 30
  10. Mitsubishi Triton: 18 

Google ads
"
"
Back to top button