Buletin

HONDA FREED 2024 TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA, 38 RIBU TEMPAHAN DALAM SEBULAN!

Pemakluman Honda mengenai tempahan Freed generasi ketiga yang mencecah puluhan ribu unit dalam tempoh sebulan membuatkan penulis berulang-kali membacanya.

Bukan 3,800 buah tetapi kira-kira 38,000 unit setakat 27 Julai selepas diperkenal pada 27 Jun 2024.

Angka itu sekitar enam kali ganda berbanding rancangan jualan Honda sebanyak 6,500 unit sebulan.

Menurut Honda, pembeli Freed terdiri daripada pelbagai kategori termasuk keluarga dan menariknya individu bujang. Kebanyakannya bertukar dari Freed terdahulu, kereta mini (kei-car), kompak dan sebagainya.

Di antara ciri-ciri yang menerima maklum balas positif pelanggan seperti teknologi hibrid dua motor e:HEV dengan prestasi pemanduan berkuasa dari kelajuan rendah dan penggunaan bahan api ekonomikal.

Pelanggan juga menggemari rekaan Freed Air yang ringkas dan kemas manakala Freed Crosstar pula membawa imej berbeza. 

Freed Air membawa gaya urban dan Freed Crosstar tampil rugged dengan konsep aktiviti luar (outdoor).

Lagi ciri positif seperti tema rekaan melintang, ruang pandang tidak terganggu, ruang dalaman mesra pengguna dan saiz badan yang mudah dikendalikan.

Bahagian dalaman yang mudah untuk dilalui penumpang dari baris pertama sehingga ketiga turut disukai pelanggan.

Untuk pelanggan yang mahukan sesuatu lebih istimewa, Honda menawarkan dua pakej Honda Access iaitu Active Tough Style dan Superior Style.

Freed 2024 ditawarkan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter i-VTEC dan padanan kotak gear eCVT. Kuasa yang dihasilkan 118 ps pada 6,600 rpm dan 142Nm pada 4,300 rpm,

Freed e:HEV digerakkan enjin 1.5 liter dengan dua motor elektrik dan menghasilkan 106 ps dari 6,000 sehingga 6,600 rpm dan 127Nm dari 4,500 sehingga 5,000 rpm.

Motor elektrik memiliki 90 kW (123 ps) dari 3,500 sehingga 8,000 rpm dan 253Nm dari 0 sehingga 3,000 rpm.

Seperti biasa pelanggan ditawarkan piihan pacuan roda depan (FF) atau empat roda (4WD).

Bergantung kepada varian, Freed boleh memuatkan lima, enam atau tujuh penumpang.

Berkenaan harga, Freed 1.5 i-VTEC dijual dari 2,508,000 yen (RM75,019) untuk varian asas Air FF enam penumpang sehingga 3,087,700 yen (RM92,352) bagi varian teratas Crosstar 4WD enam penumpang.

Freed 1.5 i-VTEC e:HEV pula dari 2,857,800 yen (RM85,471) bagi varian asas Air FF enam penumpang sehingga 3,437,500 yen (RM102,779) untuk varian teratas Crosstar 4WD enam penumpang.

Perincian pesanan pengguna:

Freed 1.5 i-VTEC

  • Freed Air: 2%
  • Freed Air EX: 11%
  • Freed Crosstar: 3%
  • Freed Crosstar Slope/Freed Crosstar Lift-up seat: 0.4%

Freed e:HEV

  • Freed Air: 3%
  • Freed Air EX: 55%
  • Freed Crosstar: 25%
  • Freed Crosstar Slope/Freed Crosstar Lift-up seat: 0.6%

Jenis rangkaian kuasa

  • Petrol biasa: 17%
  • e:HEV: 83%

Pacuan

  • FF: 85%
  • 4WD: 15%

Tiga warna popular

Freed Air

  1. Platinum White Pearl 43%
  2. Fjord Mist Pearl 19%
  3. Sonic Gray Pearl 9%

Freed Crosstar

  • Desert Beige Pearl 33%
  • Platinum White Pearl 20%
  • Sonic Gray Pearl 19%

Google ads
Back to top button