Buletin

HONDA JAZZ 2020 DAN APA YANG KITA TAHU SETAKAT NI?

Kira-kira sedekad yang lalu, trend kereta-kereta penumpang segmen C sudah mula menampakkan penurunan permintaan. Pasaran kereta penumpang banyak dipengaruhi oleh Kenderaan Utiliti Sukan atau SUV dan juga crossover.

Namun ada satu segmen yang berkembang iaitu B hatchback ketika sedan segmen C semakin premium dan canggih. Fokus utama dalam segmen ini ialah penggunaan bahanapi yang ekonomikal serta saiznya yang semakin menghampiri generasi awal segmen C.

Di Benua Asia, Honda Jazz/Fit dan Toyota Yaris menjadi sangat popular. Tak hairanlah, pengeluar lain mula menghasilkan produk serupa. Mazda ada Mazda 2, Ford Fiesta, Suzuki Swift, Nissan Latio/Almera dan sebagainya.

Tapi nampaknya populariti Jazz masih di depan dan sebenarnya untuk segmen ini, Honda Jazz lah yang telah mengubah cara sebuah hatchback dibina. Dari kombinasi ruang dalaman yang luas, ruang bagasi, penggunaan bahanapi yang ekonomikal dan rekabentuk yang menarik.

Kini, setelah tiga generasi di pasaran sejak diperkenalkan pada tahun 2001, Honda Jazz sudah tiba masanya untuk digantikan. Besar kemungkinannya ia akan dipertontonkan di Tokyo Motorshow pada penghujung tahun ini.

Beberapa hari lepas tersebar foto Honda Jazz sedang menjalani proses ujian. Memang tidak jelas bagaimana bentuk akhirnya namun sekali imbas, kita dapat lihat Jazz baru ini kelihatan lebih “gemuk”

Sumber media Jepun mendakwa bahawa Jazz (atau dikenali dengan nama Fit di Jepun) akan mendapat rangkaian enjin baru, iaitu 1.0 liter turbo. Di Jepun sendiri, enjin tiga selinder sebaris ini tidak pernah digunakan dalam produksi sebaliknya ia dibuat untuk pasaran Eropah.

Sebelum anda rasa skeptik dengan enjin tiga selinder untuk membawa badan Jazz, sebenarnya, enjin ini telahpun digunakan untuk model Honda Civic untuk pasaran Eropah dan juga China.

Ia merupakan enjin tiga selinder, DOHC Earth Dream dengan sebuah pendesak turbo kecil dengan sejukan intercooler yang menghasilkan 129HP dan 173Nm tork pada 4500RPM, ia bukanlah enjin yang pekak sangat walaupun hanya tiga selinder. Malah antara yang berkuasa kalau dibandingkan dalam kelas enjin 4 selinder N/A berkapasiti 1800cc-2000cc N/A (Normally Aspirated)

Model 1.0L turbo ini dijangka akan jadi varian premium sepertimana 1.5 TCP bagi Civic dan HR-V.

Honda juga dikatakan akan mengadakan kerjasama dengan syarikat China – China Contemporary Amperex Technology (CATL) untuk membangunkan versi Jazz EV. Sepertimana yang kita maklum, teknologi China jauh ke depan dalam selok-belok kenderaan elektrik dan logiknya, pengkhususan pasaran juga mungkin menyebabkan Honda memilih rakan kongsi berbanding membangunkannya sendirian.

Bahagian dalaman dalam foto intipan ini juga memperlihatkan skrin besar yang “timbul” di bahagian tengah papan pemuka. Ia benar-benar berbeza dari tiga generasi sebelumnya dan masih mengekalkan papan instrumentasi satu lapisan berbanding paparan dua tingkat seperti Civic.

Apa yang menarik jika anda perhatikan dalam kelompok foto intipan ini, kelihatan ada satu versi yang didatangkan dengan “fander flare” kecil dan juga roof rail. Mungkinkah ada versi crossover khusus untuk Jazz akan datang?

Sehingga kami dapat maklumat lain, kami akan kemaskini berita hacthback kegemaran ini dari masa ke semasa.

GALERI

Google ads
Back to top button