Buletin

HONDA KEMBALI KE KANCAH F1 PADA 2026 SEBAGAI PENGELUAR ENJIN ASTON MARTIN

Honda mengesahkan kehadiran semula mereka ke kancah Formula 1 sebagai pengeluar enjin untuk pasukan Aston Martin pada 2026.

Aston Martin mendakwa perkongsian itu adalah satu langkah yang sangat penting dalam matlamat pasukan untuk bersaing merebut kejuaraan dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Aston Martin, Martin Whitmarsh berkata, “Adalah sangat, sangat sukar untuk memenangi kejuaraan secara konsisten tanpa hubungan kerjasama, itulah sebabnya kami membuat keputusan ini.”

“Ia satu cabaran besar,” katanya. “Jika berhasrat memenangi perlumbaan F1, itu bermakna kami perlu mengalahkan rakan kongsi sedia ada dan berdikari.

Untuk rekod, Aston Martin menikmati perlumbaan di awal musim apabila berjaya menduduki tempat kedua di belakang Red Bull, dengan Fernando Alonso menempatkan diri di tempat ketiga dalam lima perlumbaan.

Terdahulu, Honda telah menyertai semula F1 pada 2015 dengan McLaren dan mengharungi tiga tahun sukar di mana enjin mereka mendapat kritikan secara terbuka oleh Alonso pada masa itu.

Honda akhirnya menarik diri pada 2021 kerana berpendapat industri itu sedang menjalani “tempoh transformasi hebat dalam 100 tahun” selain faktor peralihan kepada kuasa elektrik dan bebas karbon.  

Walau bagaimanapun, peraturan enjin F1 2026 mengalami perubahan, merangkumi penggunaan 50 peratus kuasa elektrik dan penggunaan bahan api mampan 100 peratus, dianggap sejajar dengan komitmen syarikat untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2030.

Perkembangan berkaitan, bagi musim 2026-2030, enam pengeluar mengesahkan perkongsian masing-masing, antaranya Honda, Mercedes, Red Bull Ford, Ferrari, Alpine dan Audi.

Selain itu, Honda turut menegaskan bahawa mereka tidak bercadang untuk membekalkan enjin kepada pasukan lain.


Google ads
Back to top button