Buletin

HONDA MALAYSIA BUKA TEMPAHAN HR-V FACELIFT. KINI SUDAH ADA VARIAN RS!

Dalam satu majlis Rumah Terbuka Hari Raya bersama pihak media yang berlangsung sebentar tadi, Honda Malaysia telah mempamerkan model yang akan dilancarkan tidak lama lagi – Honda HR-V versi facelift.

Seperti yang pernah kami siarkan sebelum ini, Thailand sudahpun menerima facelift beberapa bulan lepas, termasuk negara-negara Asia Tenggara yang lain. Honda Malaysia nampaknya tidak mahu kehilangan pasaran walaupun dengan permintaan yang menggila semenjak perlaksanaan 0% GST sejak Jun lepas.

Lebih mengejutkan, Honda Malaysia turut memperkenalkan varian RS – bagi mengekalkan posisinya sebagai SUV terlaris di Malaysia dalam kelasnya. 

Sejak diperkenalkan pada 2015, HR-V menerima sambutan yang cukup menggalakkan dari rakyat Malaysia. Sebanyak 72,000 unit model ini terjual sehingga Jun 2018. Ia juga menjadi model Honda kedua terlaris yang menyumbang sebanyak 16 peratus jualan keseluruhan.

Honda HR-V RS

Ia adalah varian terbaru yang diperkenalkan (sepertimana Thailand) dengan beberapa ciri berbeza dari yang sebelum ini.

Ia didatangkan dengan lampu hadapan LED rekaan terbaru bersama DRL binadalam yang juga dengan garis sehala. Ia juga didatangkan dengan foglight LED baru dan juga lampu belakang dengan “garis” LED rekaan baru.

Ciri RS yang lebih ketara ialah rim 18 inci dua tona, jeriji radiator yang lebih sporty, bampar hadapan dan belakang dengan rekaan baru serta beberapa kemasan kecil seperti handle pembuka pintu luaran krom, perumah nombor pendaftaran krom, pemijak sisi hitam, serta “sarang” lampu kabus.

Lagi ciri tambahan yang agak menarik pada HR-V RS ialah sistem Honda LaneWatch, ia membantu pemandu melihat objek dari kiri kenderaan pada monitor kenderaan. Sebuah kamera kecil dipasangkan pada cermin sisi sebelah kiri kenderaan. Ia membantu pemandu melihat titik buta pada objek yang hadir dari sebelah kiri.

Tiada perubahan dari aspek enjin. Ia masih dikuasakan oleh unit enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang menjana 142PS @ 6,500rpm dan tork 172Nm @ 4,300rpm. Enjin ini disalurkan ke transmisi CVT.

HR-V menawarkan rangkaian ciri keselamatan aktif dan pasif yang komprehensif. Ini termasuklah 6 beg udara, kamera pandang belakang pelbagai sudut, Emergency Stop Signal (ESS), Hill Start Assist (HSA) dan Vehicle Stability Assist (VSA).

BACA: HR-V FACELIFT DILANCARKAN DI THAILAND

Teknologi-teknologi termaju seperti Automatic Brake Hold dan Electric Parking Brake turut ditawarkan pada semua varian.

Serentak dengan pengenalan versi RS ini juga HR-V facelift ini didatangkan dengan pilihan warna tambahan iaitu Passion Red Pearl.

BACA: HR-V FACELIFT DILANCAR DI JEPUN

Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, Honda Malaysia sudah membuka tempahan bermula hari ini 12 JUlai. Pelancaran rasmi model ini akan dibuat bila-bila masa mulai sekarang hingga September nanti.

Bukan itu sahaja, pembeli yang menempah dan mendaftar HR-V sebelum 31 Oktober akan mendapat kad belian Petronas bernilai RM1,000.00.

GALERI

Google ads
Back to top button