Buletin

HONDA MALAYSIA LANCAR CITY HYBRID – SEDAN HIBRID TERMURAH DI PASARAN

Honda Malaysia hari ini memperkenalkan varian terbaharu Honda City Hybrid kepada media dalam majlis rumah terbukanya di Subang Jaya, Selangor.  

Sebagai yang telah dilaporkan sebelum ini, City Hybrid dibina di atas varian E Honda City Petrol. Namun begitu, pada harga RM89,200 seunit, varian hibrid ini sememangnya satu pembelian yang berbaloi.

Ini kerana ia dilengkapi lebih banyak ciri, walaupun jika dibandingkan dengan Jazz Hybrid. Antaranya ialah paddle shifter. Di ruang kabin, anda akan dihidangkan dengan kluster meter iluminasi 3D yang memaparkan pelbagai maklumat seperti aliran tenaga dan sebagainya.

Selain itu, ia juga dilengkapi paparan audio bersaiz 6,8 inci, panel sentuh untuk kawalan pendingin hawa, lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang LED dan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci.

Walaupun ditambah dengan bateri Intelligent Power Unit (IPU), ruang but sedan ini masih sama seperti varian petrol iaitu 536 liter. Seperti yang dijangka, sedan ini tidak didatangkan dengan tayar gantian.

City Hybrid dijana oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar DCT tujuh kelajuan bersama motor bersepadu berkuasa tinggi.

DCT menggunakan sistem penukaran gear Shift-by-Wire Gear untuk memberikan maklum balas lebih pantas dan lancar. Padanan itu membolehkan enjin menghasilkan kuasa sehingga 137PS dan tork 170Nm yang menyamai enjin 1.8 liter. Untuk menawarkan pemanduan lebih sporty, varian ini hadir dengan butang Ssport Mode.

Penggunaan bahan api pula cuma 3.9L/100km. Untuk penghantaran kuasa yang lebih baik, Honda menggunakan bateri Lithium ion (Li-ion) berkapasiti lebih tinggi. Honda Malaysia juga menawarkan jaminan selama lapan tahun untuk bateri tersebut.

Dari segi keselamatan, City Hybrid hadir dengan empat beg udara, sistem brek ABS, Vehicle Stability Assist (VSA), kamera undur dan Emergency Stop Signal (ESS). Tiga warna ditawarkan iaitu perak, kelabu dan putih. Jaminan pula selama lima tahun tanpa had perbatuan dengan selang servis setiap 10,000km.

Tempahan sudah pun dibuka. Sebelum itu, layan dahulu galeri City Hybrid di bawah:

GALERI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button