Buletin

HONDA N-VAN – KHABAR KERETA KOMPAK DARI JEPUN

Pada suatu masa dahulu demam kei-car (kereta kecil) melanda negara dengan hebat sekali. Asalnya bermula dengan Perodua apabila melancarkan Kancil yang merupakan kembar kepada Daihatsu Mira di Jepun.

Kemudian demam ini terus melanda dengan kebanjiran komponen terpakai dari Jepun. Perodua terus galak melancarkan model-model seterusnya seperti Kelisa, Kenari dan Myvi.

Demam ini walaubagaimanapun semakin kebah apabila Perodua dan Daihatsu saling bekerjasama membangunkan model sendiri seperti Axia dan Myvi baharu.

Kereta kecil seperti Kancil, Kelisa dan Kenari yang kuat pengaruh idea-idea comel Jepun sudah tiada lagi. Pendek kata, kereta kompak seperti Axia dan Myvi kini dibina mengikut citarasa pasaran Malaysia dan Indonesia berbanding Jepun.

Di negara kelahiran kei-car, pengeluar masih lagi giat menawarkan pelbagai model untuk rakyat di sana.

Contohnya Honda Motor Co., Ltd. melancarkan jualan N-VAN pada 13 Julai lalu di seluruh Jepun.

N-VAN ini unik kerana bentuknya yang dipanggil van kecil mini (van-type mini-vehicle).

Berikut ialah ciri-ciri Honda N-VAN:

  • Dikuasakan oleh dua jenis enjin 660 cc n/a dan 660 cc turbo
  • Ditawarkan dalam dua konfigurasi pacuan iaitu 4WD dan 2WD
  • Dibangunkan melalui kajian terhadap kehidupan harian warga kerja dan kebolehgunaan untuk pelbagai urusan seperti perniagaan dan pekerjaan
  • Dibina menggunakan platform Honda N-BOX
  • Tiada tiang tengah supaya urusan keluar masuk barang menjadi mudah dan lancar
  • Masalah dengan kereta kei-car ialah kerusi yang tidak selesa. N-VAN berbeza apabila Honda turut mengambil kira pemanduan yang lama dan supaya mudah untuk keluar dan masuk
  • Walaupun kecil tetapi dilengkapi dengan teknologi Honda SENSINGTM
  • Transmisi N-VAN ini juga hebat iaitu enam kelajuan manual! Transmisi CVT pun ada

Honda mensasarkan untuk mejual 3,000 unit N-VAN sebulan di Jepun. Honda N-VAN ditawarkan pada harga bermula dari JPY 1,267,920 (RM 46,757) hingga JPY 1,799,280 (RM 66,349).

Boleh tahan juga harganya dan agak munasabah. Cuma… walaupun Perodua sudah berupaya membangunkan kereta sendiri, nostalgia kei-car masih melekat di fikiran apatah lagi membesar dengannya.

BACA: ALKISAH MINI MPV HONDA

BACA: HONDA N-BOX PALING LARIS DI JEPUN TAHUN 2017 – CATAT JUALAN 218,478 UNIT

Google ads
Back to top button