Artikel Pilihan

HONDA NSX R BERJAYA DILELONG LEBIH USD1 JUTA – KENSEL LA BOOKING LAMBO

Rasanya semua peminat kereta kenal dengan Honda NSX yang memegang status kereta sports paling ikonik dari Jepun. Tapi rekod jualan kali ini memang mengejutkan ramai pihak termasuklah peminat susah mati NSX sendiri. Kenapa tidak? Sebuah NSX R telah berjaya dilelong dengan harga USD1,064,257 (RM4,530,009)! Ini gila tuan-tuan.

Apa yang istimewanya NSX R ni sampai harganya mencecah jutaan RM? Sebagai permulaan, Honda hanya mengeluarkan 140 unit varian ini dan kesemuanya adalah untuk pasaran Jepun.

NSX R juga menggunakan banyak komponen gentian karbon untuk mengurangkan berat. Sistem audio dibuang terus manakala stereng kuasa dan penyaman udara diletakkan sebagai aksesori pilihan. Tak nak pilih pun tak apa. Tempat duduk asal digantikan dengan produk Recaro yang diperbuat daripada bahan karbon-Kevlar.

Hasilnya ialah sebuah NSX yang 100 kilogram lebih ringan berbanding model standard. NSX R menggunakan nadi yang sama seperti NSX lain. 3.2 liter NA V6 tapi untuk NSX R ia diberi imbangan yang lebih baik dengan pemasangan yang lebih teliti.

Honda mendakwa NSX R menghasilkan kuasa maksima yang sama dengan varian standard, 290 hp tapi ramai peminat percaya nadi NSX R adalah lebih berkuasa.

NSX R ini telah berjaya dijual dalam satu acara lelongan di Itali anjuran Broad Arrow Auction minggu lepas. Kereta ini baru dipandu sejauh 16,000 kilometer dan tali sawatnya kali terakhir ditukar pada 2023. Boleh lagi kalau nak pakai terus pun.

Ia menjadi rebutan ramai pembida dari AS, Australia, UK, Afrika Selatan dan Argentina. Kalau abang Japar tahu dah tentu nama Malaysia masuk sekali dalam senarai sebab pembida. Tapi itulah, tak ada info sampai kat abang.

Google ads
Back to top button