
HONDA ODYSSEY KEMBALI DIJUAL DI JEPUN, ‘MADE IN CHINA’
Penghujung tahun 2021, Honda membuat keputusan menghentikan pengeluaran model JDM Honda Odyssey.
Disebabkan permintaan yang kembali meningkat, minivan itu akhirnya membuat kemunculan semula di pasaran Jepun.
Cuma kali ini, ia tidak lagi dipasang di kilang Sayama, Saitama Prefecture seperti model terdahulu, sebaliknya diimport dari China.

Bukan itu sahaja, Honda Odyssey kini ditawarkan eksklusif dalam varian e:HEV Absolute EX Black Edition.
Ini bermakna, Odyssey ‘Made in China’ ini didatangkan dengan trenkuasa hibrid, dan diserikan dengan kemasan warna hitam pada sesetengah tempat.
Susun atur papan pemula Odyssey juga dilihat lebih berbeza berbanding unit yang dijual di Amerika, di mana ia kini menampilkan corong pendingin hawa yang lebih nipis, skrin infotainmen sebesar 11.4 inci, serta kehadiran slot pengecasan USB-C pada baris kedua.

Kerusi kapten baris kedua juga mempunyai larasan empat cara, serta dilengkapi dengan ciri pemanas dan boleh dibaringkan.
Kecuali tempat duduk penumpang hadapan, tempat duduk pemandu mempunyai larasan lapan cara.
Odyssey e:HEV dijana dengan nadi 2.0 liter hibrid yang mampu menghasilkan 212 hp dan 315 Nm, dipadankan dengan transmisi e-CVT yang memacu roda hadapan.
Model ini bakal dijual secara rasmi pada suku keempat tahun ini.





