
Foto ini dimuatnaik oleh laman web permotoran Vientam yang terkenal, motosaigon semalam.
Pertama kali melihatnya, kami sangka, ia adalah sekadar mainan grafik komputer, namun bila di zoom dengan lebih dekat, “braket” yang memegang cakera depan memang ada pengesan kelajuan dengan pulser ring yang biasanya digunakan pada brek dengan sistem ABS
Persoalannya, adakah ia model produksi?
Berdasarkan foto yang dilihat, jelas ia adalah model pameran dan menurut motosaigon, foto tersebut diperolehi dalam satu pameran di Indonesia.
Jika anda melihatnya dengan lebih teliti, meskipun datang dengan ABS ring pada roda hadapan ia tidak bersambung dengan mana-mana hos yang sepatutnya menjadi sensor terhadap keseluruhan sistem.

Sistem ABS lengkap walaupun untuk satu hala (single channel) lazimnya kelihatan jelas dengan sambungan hos terus ke bahagian utama ABS pump.
Jadi, adakah ia sebagai model produksi?
Sukar untuk menjawabnya, namun jika ia bukan untuk produksi, tiada sebab untuk Honda mempamerkannya begitu.
Jika anda masih ingat kali pertama kami siarkan foto Sym VF3i dengan ABS dalam pameran, ia kemudiannya jadi model produksi – tapi malangnya untuk pasaran Vietnam sahaja.
Sebagai satu jenama teras di negara-negara Asia Tenggara khususnya, Honda bakal menjadi peneraju sekiranya super moped ini dilengkapi dengan brek ABS.
Pada pendapat kami pula, sudah sampai masanya super kapcai yang semakin laju dilengkapi dengan sistem brek lebih selamat.
Jika skuter 155cc seperti NVX dan NMAX boleh dipasangkan dengan ABS, tiada sebab kenapa kapcai masih lagi belum menggunakan kaedah brek yang jelas lebih selamat.