Artikel Pilihan

INI 6 KERETA DENGAN ENJIN V8 MAMPU MILIK DI PASARAN TEMPATAN

Enjin V8 sering dikaitkan dengan satu perkara, ia ada karakteristik tersendiri, bunyi guruh yang sedap didengar dan susunan enjin memanjang yang nampak cantik dalam enjin bay. Empat selinder di kiri dan empat selinder di bank kanan.

Ia direka untuk menghasilkan kuasa dan tork. Samada untuk membawa beban badan kereta yang berat, ataupun mendapatkan tork tinggi untuk kereta sedan pacuan roda belakang.

Apa pun tujuannya, kereta berenjin V8 yang ramai menganggapnya “budaya” Amerika sebenarnya banyak digunakan pada kereta-kereta biasa juga.

Mahal? Ya. sudah tentu, sewaktu kereta-kereta ini keluar dari bilik pameran. Tapi, dengan majoritinya sudah berusia, kereta-kereta berenjin V8 ini kini sudah mampu milik untuk mereka yang berminat.

Inilah antara pilihan kami.

1.BMW E38 730i V8 3.0 – 1995 (anggaran sekitar RM15K)

Ini jadi pilihan pertama sebab Abang Japar suruh letak dia list paling atas. Khabarnya pernah menjadi kereta idaman beliau satu ketika dahulu dan masih merupakan V8 “terkecil” dalam keluarga BMW dengan body paling cantik – eksekutif, lawa, elegan dan tak berapa nak laju juga.

Enjin M60 V8 ini berkapasiti 2,997 cc Naturally Aspirated tak ada turbo supercaj buat apa, tak rock pun. Enjin ini menghasilkan 215hp dan 290Nm tork. Ya. ia dihasilkan pada 1992 tuan-tuan.

2. Land Rover Discovery V8 3.5 1992 (harga bermula RM13K)

Rupanya memang tak sukan langsung. Tapi inilah SUV Eropah yang memulakan kelas SUV premium. Ia dikenali sebagai Discovery Series I dan diperkenalkan dari tahun 1989 sampai 1998.

Kalau nak betul murah, yang ini dipadankan dengan enjin V8 dari variasi 3.5, 3.9 dan 4.0 liter. Check bank akaun dulu takut-takut senak nak bayar road tax nanti.

3. BMW E65 V8 3.6 – 2005 (harga bermula 28K)

Selepas enjin M60 pada E38, BMW membina generasi V8 seterusnya menerusi model ini.

Dikenali dengan enjin M62, ia enjin berkapasiti 3.6 liter sampai 4.4 liter N/A yang menghasilkan 302 kuasa kuda dan 390Nm tork. Ia juga enjin V8 BMW pertama menggunakan sistem valvetronik.

Terpulang kepada individu, tapi sejak kereta ni dilancarkan pada 2001 hingga lah akhir pengeluarannya pada 2008, kami tak nampak pun kereta ni cantik. Ia mungkin hasil sentuhan Chris Bangle yang tak boleh blah.

Kau drive kereta ni memang nampak macam driver.

4. Porsche Cayenne 4.5 Turbo – 2005 (harga sekitar RM38K)

Kalau nak merasa pakai Porsche harga Myvi, ini salah satu calonnya.

Enjin 4.5 V8 turbo ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 450hp dan kalau masih tak cukup, boleh cari model Cayenne S twin turbo dengan 521hp, tapi lagi mahal lah.

Apapun untuk 450hp dan harga kereta RM30K, tak ada kereta yang boleh kau beli dah dengan nilai kuasa kuda-per liter.

Tak macam E65, Cayenne masih lagi nampak moden dan tak berlebih-lebih rekabentuknya.

Lagipun, ia sebuah Porsche, bawak balik Kodiang pun orang kampung pun pandang lagi laa…

5. Jaguar S-Type V8 4.2 – 2002 (harga sekitar RM55K)

Jaguar S-Type ni dikeluarkan dari 1999 hingga 2007. Ia merupakan produksi satu generasi sahaja dan S-Type ni digantikan dengan XF pada 2008.

Selepas membuat enjin enam selinder sebaris dan V12, Jaguar akhirnya masuk ke wilayah V8 pada penghujung 90-an. Selepas dekad tu, enjin-enjin dia semua bentangan V6 dan V8 dan ini pula ialah enjin V8 paling kecil dalam keluarga Jaguar.

Enjin yang dikenali dengan kod AJ33 ini menghasilkan 300hp dan tork 411. Salah satu sebab kami pilih kereta ini ialah kod enjin AJ tu lah. Ha ha ha! Kalau tak bubuh yang ni merajuk pulak orang tua kutuk tu.

……………………………………………………………………

Amboi amboi amboi… kereta Mat Salleh je ke semua V8 ni? Kereta Jepun tak ada ke V8 yang mampu milik?

Ada tuan -tuan… yang ini.

6. Toyota Land Cruiser V8 4.7 – 2002 sekitar RM48K

Ini adalah SUV flagship Toyota yang berkongsi dengan saudara Lexusnya. Atas jalan kau boleh jumpa kedua-dua versi di Malaysia. Samada Land Cruiser Cygnus 4.7 (series 100) atau Lexus LX470.

Walaupun menggunakan lencana Lexus, ia tetap sebuah Toyota dengan enjin asa UZ series. Enjin V8 2UZ ini adalah evolusi dari 1UZ zaman awal 90-an dulu. Tak banyak kerenah, senang jaga dan sparepartnya paling mudah dari kalangan lima kereta di atas tadi.

Sepertimana enjin-enjin Jepun pada zamannya, nadi 4.7 liter ini menghasilkan cuma 270hp dan tork 420Nm. Tak kuat kalau dibandingkan dengan enjin Eropah.

Ada lagi beberapa kereta yang agak munasabah harganya dengan enjin V8 yang boleh dibeli di pasaran terpakai. Contohnya Lexus LS400 V8 4.0 – 1990 yang berharga sekitar RM20K, Audi Q7 4.2 V8 dalam RM60K, Mercedes S500 V7 coupe dalam RM70K.

Google ads
Back to top button