
HONDA TUTUP KILANG DI FILIPINA. JUALAN BR-V & CITY TIDAK CUKUP UNTUK TAMPUNG OPERASI
Honda semalam mengumumkan bahawa ia akan menghentikan operasi pengeluaran kenderaannya di Filipina mulai bulan depan.
Honda Cars Philippines, Inc. (HCPI) memberitahu pihaknya akan menutup kilang produksinya di Sta. Rosa, Laguna yang bertanggungjawab mengeluarkan model-model seperti BR-V dan City. HCPI mendakwa langkah itu perlu bagi memenuhi keperluan pelanggan menerusi peruntukan sumber yang lebih efisien.
“Selepas menimbang aspek mengoptimumkan operasi produksi di rantau Asia dan Oceania, Hnda mengambil keputusan untuk menutup operasi kilang HCPI,” kata HCPI dalam satu kenyataan.

Pengumuman yang sangat mengejutkan itu dilakukan kerana jualan BR-V dan City tidak cukup untuk mengekalkan operasi kilang. Jadi, HCPI terpaksa mengambil model-model tersebut daripada hab pengilangannya di Thailand selepas ini.
HCPI menggaji sekitar 650 pekerja tetapi tiada maklumat tentang berapa orang yang akan terjejas dengan penutupan tersebut. Biarpun begitu, jualan dan perkhidmatan selepas jualan kereta Honda masih berjalan seperti biasa.
Kumpulan pembela nasib buruh di Filipina, Defend Jobs Philippines (DJP) mendakwa seramai 387 orang akan hilang kerja. Mereka akan menerima pampasan yang lebih daripada diperuntukkan oleh undang-undang bagi membantu mengharungi tempoh sukar ini.
Manakaka pekerja di 60 buah syarikat yang membekalkan alat ganti kepada HCPI juga bakal terjejas. DJP menggesa Setiausaha Buruh, Silvestre Bello III supaya campur tangan, menjalankan siasatan dan melihat isu ini secara terperinci.
HCPI yang memiliki modal pelaburan berjumlah RM156 juta ditubuhkan pada tahun 1990 dan memulakan produksi dua tahun kemudian. Ia merupakan syarikat kereta keempat terbesar di Filipina. Pada Januari 2020, HCPI berjaya menjual 1,769 unit kenderaan, turun 9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ia memasarkan 12 model kenderaan, termasuklah dua model pemasangan tempatan iaitu City dan BR-V.