,
Buletin

MAZDA TIADA MODEL BAHARU SEHINGGA 2022. BERTAPA UNTUK SIAPKAN MODEL LEBIH POWER DAN PREMIUM

Mazda dilapor tidak akan melancarkan apa-apa model utama sehingga Mac 2022. Menurut laporan Nikkei Asian Review, model sedia ada Mazda seperti CX-30 juga tidak menerima sebarang naik taraf atau rekaan baharu. 

Situasi itu dilihat akan memberi kesan yang signifikan buat Mazda dan para pengedarnya. Mazda kini sibuk membangunkan platform kenderaan besar dan rangkaian kuasa baharu yang dijadual melakukan debut pada Mac 2023. 

Rancangan Mazda untuk menghasilkan platform kenderaan bersaiz besar timbul dalam laporan pelabur pada Mac tahun lalu. Laporan tersebut memperincikan tentang platform, enjin diesel dan petrol enam selinder sebaris, satu sistem mild-hybrid, satu platform EV dan banyak lagi. 

Kewujudan platform dan enjin baharu itu membolehkan Mazda menjadi jenama yang lebih premium. Sekaligus dapat bersaing dengan Mercedes-Benz, BMW dan Lexus. Langkah yang berani itu semestinya menelan banyak belanja untuk tujuan R&D untuk beberapa tahun akan datang. 

Mazda berharap teknologi dan ciri baharu itu akan dapat menarik minat pengguna daripada jenama mewah lain yang dilihat kurang produk baharu serta sudah agak lama di pasaran. Satu lagi perkembangan penting ialah pendirian mazda terhadap enjin diesel. 

Ketika pengeluar kenderaan lain secara perlahan-lahan meninggalkan enjin diesel, Mazda bagaimanapun semakin rancak menawarkan rangkaian kuasa itu ke dalam model keluarannya. Perlu tahu bahawa enjin diesel Mazda adalah antara yang terbaik boleh anda dapati di pasaran sekarang. 

Apa pun, biarkan dahulu Mazda untuk bertapa selama dua tahun ini. Selepas itu, kita boleh lihat sendiri hasil pertapaan itu. Mazda jarang sekali menghampakan… 

Tags
Google ads
Back to top button