Buletin

HONDA LogR – DATALOGGER KHAS UNTUK TYPE R!

Selain memperkenalkan Civic Type R Limited Edition dan Sport Line, Honda turut mengumumkan datalogger yang dikenali sebagai Honda LogR.

Eksklusif untuk Type R, sistem itu menggabungkan data daripada komputer terbina dalam (onboard) dan sensor dengan aplikasi telefon pintar bagi membantu pemandu mengawasi dan merekodkan pelbagai jenis maklumat prestasi.

Selain bacaan, ia juga membantu dalam memperbaiki skil pemanduan di litar dan di luar melalui penggunaan algoritma pemanduan.

Melalui akses kepada komputer terbina dalam Type R, Honda LogR berbeza daripada aplikasi prestasi log prestasi lain dengan memberikan maklumat lebih terperinci.

Honda LogR mempunyai tiga fungsi utama iaitu Performance Monitor, Log Mode, dan Auto Score Mode.

Semasa memandu, kesemua interaksi dengan Honda LogR dipaparkan melalui skrin Display Audio.

Berikut ialah tiga fungsi utama Honda LogR:

Performance Monitor

Apabila disambungkan dengan telefon pintar, skrin tengah Type R akan memaparkan Performance Monitor yang membolehkan pemandu melihat fungsi utama kenderaan secara semasa (real time).

Di antaranya ialah gear, suhu penyejuk dan minyak, tekanan minyak dan atmosfera, dan suhu kemasukan udara enjin.

Pemandu juga boleh memilih di antara G-Meter dan 3D yang mempunyai paparan berbeza.

G-Meter memaparkan maklumat pecutan, brek dan selekoh dalam graf berbentuk ‘mangkuk’ manakala 3D dalam visual keseluruhan (bird’s-eye).

Log Mode

Mod ini dapat membantu pemandu dalam memperolehi masa pusingan terbaik di litar lumba.

Program ini menggunakan GPS bagi mengawasi dan memeta lokasi kenderaan dan sensor dalaman kereta untuk mengumpul data pecutan, pembrekan, G semasa selekoh dan sebagainya.

Aplikasi ini menggalakkan pemanduan yang lancar dan terkawal melalui penggunaan tanda pengesan berwarna pada setiap pusingan.

Sasarannya ialah supaya pemandu dapat mengenakan input yang lancar pada klac, tukaran gear, stereng, brek dan pedal untuk menjadikan kereta seimbang seterusnya memperbaiki skil pemanduan.

Pengguna juga boleh menyimpan masa pusingan untuk perbandingan dan memperbaiki pemanduan pada masa seterusnya.

Auto Score

Fungsi Auto Score beroperasi ketika aplikasi Honda LogR digunakan untuk pemantauan tingkah laku pemandu dari semasa ke semasa bagi menjejak input pecutan dan nyahpecutan, membelok dan pemanduan sehala (straight line) dan seterusnya menghasilkan markah setiap satu.

Gabungan markah empat data tersebut kemudian dijana untuk perbandingan dengan garis dasar (baseline) pemandu mahir yang terbina di dalam aplikasi dan digunakan dalam fungsi Log Mode.

Auto Score sebenarnya menggalakkan pemanduan yang lancar bagi membantu memperbaiki rutin harian berbanding pemanduan berprestasi.

Sama seperti Log Mode, Auto Score turut menyimpan rekod sejarah pemanduan yang dihubungkan dengan fungsi GPS.

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button