Buletin

JUALAN KENDERAAN DI CHINA JATUH 92% PADA FEBRUARI 2020

Seperti yang dibimbangi, wabak koronavirus atau COVID-19 mula menunjukkan kesannya kepada pasaran automotif China apabila ia menjunam sehingga 92 peratus pada dua minggu pertama Februari 2020. 

Kejatuhan paling teruk berlaku pada minggu pertama Februari apabila hanya mencatat jualan 811 unit kenderaan sehari di seluruh negara. Ini adalah penurunan sebanyak 96 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Menurut Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA), kejatuhan teruk ini bersifat sementara akibat wabak COVID-19. Keadaan dijangka bertambah baik apabila lebih banyak bilik pameran kembali dibuka. 

“Pada minggu pertama Februari, hampir tiada orang di bilik pameran kerana kebanyakan orang tinggal di rumah. Hanya beberapa pusat pengedaran yang dibuka dan jumlah pelanggan pun sangat sedikit,” kata Setiausaha Agong CPCA, Cui Dongshu. 

Sebagai respons kepada isu tersebut, Geely melancarkan perkhidmatan jualan ‘tanpa hubungan’. Ia membolehkan pelanggan membeli kenderaan secara dalam talian dan dihantar terus ke pintu rumah mereka. 

Sementara pengeluar kenderaan lain seperti Nissan dan Honda terus melanjutkan tempoh pembukaan kilang masing-masing sekurang-kurangnya sehingga 11 Mac, berikutan pengumuman terkini yang dibuat oleh kerajaan. 

Penutupan kilang di China bukan sahaja menjejaskan pasaran domestik. Malah, rantaian bekalan global turut terganggu kerana pengeluar tidak dapat menerima alat ganti untuk memasang kenderaan masing-masing. 

FCA misalnya terpaksa menghentikan produksi 500L di kilangnya di Serbia. Manakala Jaguar Land Rover juga akan kehabisan alat ganti jika keadaan ini berterusan.  

Tags
Google ads
Back to top button