Motosikal

HONDA WAVE DASH FI 2017 – BERMULA RM5,860

Boon Siew Honda (BSH) semalam melancar kapcai terbaharunya, Wave Dash Fi. Ia hadir dalam tiga varian iaitu S Type, R Type dan Edisi Repsol. Varian S Type dan R Type dibezakan menerusi penggunaan brek cakera dibelakang (S Type menggunakan brek gelendong).

Manakala Edisi Repsol pula tampil dengan warna dan grafik khas Repsol yang menyerlah. Ia juga dilengkapi brek cakera pada kedua-dua rodanya. Harga termasuk GST bagi S Type, R Type dan Edisi Repsol ialah RM5,860 RM6,178 dan RM6,337 (tanpa insurans, cukai jalan dan pendaftaran).

Perubahan paling ketara pada jentera ini adalah penggunaan enjin empat lejang 109cc dengan Sistem Suntikan Bahan Api Terancang (PGM-Fi). Enjin yang mematuhi piawaian Euro 3 itu dikatakan mampu menawarkan penjimatan sehingga 61.1km/l berbanding enjin sebelumnya, 58.7km/l.

Kuasa maksimum turut ditingkatkan kepada 6.40Kw dengan tork 11.61Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.

Wave Dash Fi kini tampil lebih segar melalui grafik geometri yang unik, panel meter  dan plat pelindung haba baharu. Selain Edisi Repsol, kapcai itu didatangkan dalam tiga warna iaitu biru, hitam dan merah. Ia juga hadir bersama jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

“Kami mensasarkan untuk menjual 30,000 unit Wave Dash Fi pada tahun ini. Ya, sasaran ini memang sangat konservatif memandangkan model Wave Dash terdahulu pun berjaya dijual sebanyak 29,000 unit,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata.

BACA: MAAF, BUKAN FORZA 150 – BOON SIEW LANCAR HONDA BEAT 115, RM5,565 

Google ads
Back to top button