
HONDA ZR-V 2023 DIUMUMKAN UNTUK EROPAH, CHINA
Honda bakal menambah sebuah lagi penawaran model SUV untuk pasaran Eropah dan China yang menggunakan nama ZR-V.
Ia secara asasnya merupakan Honda HR-V yang direka untuk pasaran Amerika Syarikat, dan dibangunkan menggunakan platform Honda Civic.
Honda ZR-V bakal menyerang pasaran Eropah menjelang tahun 2023 dan diposisikan antara model HR-V dan CR-V.

Untuk pasaran Eropah, sudah semestinya ia hanya akan ditawarkan dengan trenkuasa hibrid (e:HEV), di mana ia akan dijual sekali dengan Civic e:HEV yang dijangka tiba pada suku ketiga tahun ini.
Sementara itu, Honda di China telah mendedahkan imej rasmi ZR-V untuk pasaran tersebut, dan ia sememangnya membawakan persamaan rupa paras HR-V yang diperlihatkan untuk pasaran Amerika Syarikat.
Honda ZR-V ini akan diproduksikan oleh GAC-Honda, di mana ia akan dilengkapi dengan enjin bukan hibrid 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi CVT.




