Buletin

HONG KONG DAN SINGAPURA MULAKAN GELEMBUNG PERJALANAN 26 MEI DEPAN

Hong Kong dan Singapura bersetuju untuk memulakan perjalanan tanpa kuarantin di antara kedua-dua buah negara bermula 26 Mei depan. 

Gelembung perjalanan yang sudah tertangguh beberapa kali itu pada awalnya ingin dilaksanakan pada November 2020, tetapi terpaksa dibatalkan berikutan peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 di Hong Kong. 

Sekiranya gelembung perjalanan ini berjaya dilaksanakan, ia akan menjadi perjalanan udara utama yang kedua selepas Astralia dan New Zealand yang menyambung semula penerbangan minggu lalu. 

Pembukaan tersebut dijangka dapat merancakkan kembali sektor pelancongan di antara kedua-dua buah negara. “Saya gembira kerana Hong Kong berjaya mengawal penularan wabak. Kondisi kini semakin baik untuk melancarkan semula gelembung perjalanan udara (ATB),” kata Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung. 

ATB akan bermula dengan hanya satu penerbangan sehari untuk setiap destinasi, dengan membawa maksimum 200 orang penumpang sepanjang dua minggu pertama. Ia dilihat lebih ketat berbanding Australia dan New Zealand yang membenarkan penerbangan ratusan pesawat seminggu. 

Semua penumpang dari Hong Kong perlu divaksin. Penumpang dari kedua-dua buah negara juga perlu mengambil ujian dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas dan tiba ke destinasi. Gelembung perjalanan akan dihentikan jika terdapat jangkitan tidak melibatkan komuniti tempatan melebihi lima kes. 

Hong Kong dan Singapura sememangnya tidak sabar untuk merancakkan kembali sektor pelancongan masing-masing. Ketibaan pelancong asing ke Singapura jatuh 81.2 peratus pada suku ketiga 2020 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

Google ads
Back to top button