Buletin

HUJAN LEBAT BERTERUSAN, JEPUN GANTUNG PERKHIDMATAN KERETA API LAJU

Hujan lebat disebabkan ribut tropika Mawar dan hujan bermusim yang berterusan pada pagi Sabtu, mendorong pihak berkuasa Jepun mengeluarkan amaran kerosakan dan menyebabkan ramai terkandas ketika perkhidmatan kereta api digantung.

Sejauh ini, ribut itu dilaporkan telah mengorbankan seorang mangsa dan menyebabkan dua orang hilang, kata pihak berkuasa pada hari Sabtu, dengan kira-kira 7,000 lagi penduduk diarahkan berpindah ke tempat selamat dalam keadaan mereka tanpa bekalan elektrik.

Walaupun Mawar semakin lemah daripada status taufan super, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menggesa orang ramai supaya berjaga-jaga mengenai kemungkinan berlakunya tanah runtuh, kenaikan paras sungai dan banjir di timur Jepun, sambil memberi amaran mengenai tanah runtuh di barat Jepun.

Kereta api laju Shinkansen, yang digantung dari Tokyo ke Nagoya di tengah Jepun sejak semalam, beroperasi semula sekitar tengah hari (0300 GMT) hari ini, lapor agensi berita Kyodo.

JMA mengeluarkan amaran banjir untuk rantaian pulau Okinawa dan sebahagian pulau Shikoku dan Honshu, dengan ramalan 350mm hujan di bahagian barat Honshu dalam tempoh 24 jam sehingga pagi Ahad. – Berita Harian SG

Google ads
Back to top button