Buletin

HUKUMAN PENJARA ABANG BOTAK, PALING “RINGAN” – PEGUAM

Ketika aksi Abang Botak dirakam memecahkan cermin kereta akibat dihon dua hari lepas, hampir seluruh warga Bima Sakti mengecam tindakannya. Ada yang cadangkan beliau dihukum berat dan macam-macam lagi.

Semalam, tertuduh, Danial Abdullah Tan, 31 diberkas pihak berkuasa. Sekali lagi, tona netizen masih sama, mengecam dan mahu keadilan ditegakkan.

Hari ini, beliau dihadapkan ke mahkamah dan majistret menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan. Tiba-tiba, warga maya tidak bersetuju, menghulurkan simpati, kisah sedih anak-anak dan sebagainya.

Pelik kan?

Dari sudut emosi, Ya, kami juga berasa hukuman penjara 12 bulan adalah tidak setimpal dengan kesilapan beliau. Kami juga setuju perihal ini namun undang-undang tetap undang-undang.

Berikut ialah penjelasan dari peguam HASIF HASAN tentang situasi kes yang dihadapi oleh Abang Botak.

………………………………………………………………………………..

Hari ini penunggang motosikal yang melakukan perbuatan khianat dengan menghentak cermin hadapan sebuah kereta dengan topi keledar telah mengaku bersalah dan disabitkan dan dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Sebenarnya hukuman tersebut adalah paling minima dapat dijatuhkan oleh seorang Majistret mengikut budibicara beliau kerana hukuman penjara adalah SHALL, mandatori (wajib) bagi pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Kesiksaan.

Saya percaya majistret telah menggunakan budi bicara beliau kerana tertuduh telah awal-awal lagi mengaku bersalah, tanpa perlu dibicarakan di mana banyak kos kos mahkamah dapat dijimatkan apabila tertuduh mengambil pilihan untuk mengaku bersalah.

Tertuduh telah dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau keduanya sekali.

Semoga kita di luar sana mengambil pengajaran atas kejadian ini yang sepatutnya dapat dielakkan sekiranya kita sabar dan bertimbang rasa di jalan raya.

Rujukan:

Committing mischief and thereby causing damage to the amount of twenty-five ringgit

Section 427 Penal Code

Whoever commits mischief and thereby causes loss or damage to the amount of twenty-five ringgit or upwards, SHALL be punished with imprisonment for a term of not less than one year and not more than five years or with fine or with both.

Ada rakan bertanya, kenapa kes khianat dengan memecahkan cermin kereta, cepat dijatuhkan hukuman oleh mahkamah?

Jawapan saya:

1- Kerana selepas pertuduhan dibaca, tertuduh terus mengaku bersalah.

Tertuduh tidak menyatakan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Sekiranya tertuduh memohon untuk dibicarakan, mahkamah perlu memberi tarikh lain untuk sebutan bagi pengurusan kes dan pihak pendakwaraya perlu menyerahkan bukti dan dokumen yang berkenaan bagi tujuan perbicaraan.

Tertuduh akan dilepaskan terlebih dahulu dengan jaminan oleh mahkamah.

2- Barang kes (Kereta dan cermin) tidak perlu dirujuk ke mana mana Jabatan seperti bagi kes dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, berat dadah dan jenis dadah perlu dirujuk terlebih dahulu ke Jabatan Kimia atau kes bunuh di bawah Kanun Kesiksaan di mana Laporan Bedah Siasat perlu diperolehi terlebih dahulu dan laporan kimia dan DNA juga perlu diperolehi dari Jabatan Kimia.

Kes ini agak ‘straightforward’.

3- Gambar kereta yang dirosakkan sudah ada untuk dikemukakan di mahkamah dan tertuduh telah mengaku merosakkan kenderaan berkenaan.

Sekian.

Google ads
Back to top button