Buletin

FERRARI SF90 STRADALE, AKHIRNYA FERRARI DENGAN ENJIN HIBRID PHEV

Pengeluar kereta eksotik mempunyai satu kecenderungan, sama ada terlalu pantas memperkenalkan teknologi baharu atau terkemudian.

Biasanya adaptasi teknologi yang canggih diambil daripada perlumbaan Formula Satu manakala yang terkemudian itu pula diambil selepas tunggu dan lihat.

Ada yang kaitkan ini sebagai menjaga warisan selain faktor peminat dan perubahan trend.

Usahkan pengeluar kereta eksotik, kereta massa seperti BMW pun mengambil masa yang lama sebelum menggunakan pacuan roda depan untuk modelnya.

Di dalam industri kereta eksotik hari ini, teknologi elektrik semakin banyak diguna pakai dan menghamburkan kuasa menggagumkan.

Cuma satu perkara tentang teknologi elektrik ialah bunyi motornya yang tidak senyaring enjin konvensional.

Masakan boleh sama, enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik jauh berbeza.

Bayangkan jeritan enjin V8 Ferrari digantikan dengan deseran motor elektrik?

Tetapi sampai bila? Nampaknya Ferrari semakin terbuka dengan teknologi baharu ini dan buat pertama kali dalam sejarah syarikat memperkenalkan SF90 Stradale.

Sebuah Ferrari dengan nadi kuasa plug-in hibrid atau PHEV.

SF90 Stradale dilengkapi dengan tiga motor elektrik yang mampu menghasilkan 162 kW  (217 hp) yang dibekalkan oleh bateri Li-ion prestasi tinggi.

Dengan kuasa motor ini bermakna SF90 Stradale boleh dipandu dalam mod elektrik (eDrive) dengan jarak 25 kilometer.

Apabila enjin tidak digunakan, dua motor bebas pada bahagian depan boleh memacu SF90 Stradale dengan kelajuan maksimum 135 km/j.

Enjin juga tidak digunakan semasa mengundur dan hanya boleh diaktifkan dalam mod eDrive.

Enjin V8 3902 cc ditingkatkan kepada 3990 cc dengan output kuasa 769 hp dan merupakan enjin lapan silinder paling berkuasa dalam sejarah Ferrari.

Gabungan tiga motor elektrik dan enjin V8 menjadikan kuasa SF90 Stradale setinggi 986 hp.

Transmisi Ferrari ini adalah jenis lapan kelajuan klac berkembar.

Selain banyak perkara pertama, SF90 Stradale juga adalah model sport  sulung Ferrari yang dilengkapi pacuan 4WD.

Ini adalah satu keputusan logikal untuk mencerap semua tenaga daripada nadi kuasa hibrid.

Jika ada yang was-was dengan PHEV pertama Ferrari ini, daya pecutan 0 – 100 km/j hanya mengambil masa 2.5 saat manakala 0 – 200 km/j dalam masa 6.7 saat sahaja. Kelajuan maksimum ialah 340 km/j.

SF90 Stradale dilengkapi empat jenis mod pemanduan iaitu eDrive untuk kuasa elektrik sepenuhnya, Hybrid yang merupakan tetapan standard apabila enjin dihidupkan.

Mod Performance pula mengekalkan operasi enjin pembakaran dalaman untuk pengecasan bateri dan keseronokan pemanduan dan akhir sekali mod Qualify untuk menggunakan kuasa maksimum daripada motor elektrik.

Tentang harga dan bila hendak dijual, Ferrari tidak memaklumkan secara spesifik maklumat tersebut.

Jika mengikut amalan pengeluar lain, model PHEV akan dipasarkan pada harga lebih tinggi berbanding model konvensional.

Untuk pelanggan Ferrari, duit bukan halangan cuma apa yang membuat kami tertarik ialah persaingan teknologi mesra alam untuk pengeluar kereta eksotik secara rasminya telah bermula.

Syarikat mana pula selepas ini? Lamborghini?

Tags
Google ads
Back to top button