Buletin

HYPE MOTORSPORTS HOTEL – KETENGAHKAN KONSEP DUNIA PEMOTORAN

Untuk menarik perhatian, anda perlu tampil berbeza. Itulah yang dilakukan oleh Forte Hospitality Management Sdn. Bhd. (Forte Hospitality Management) apabila membuka Hotel Hype Motorsports Nilai. 

Melibatkan pelaburan sebanyak RM12 juta, ia menjadi hotel butik pertama di Asia yang berkonsepkan dunia permotoran sepenuhnya. Elemen tersebut dapat dilihat dengan jelas  menerusi penampilan imej, gaya, reka bentuk ruang dalaman dan luarannya.

Terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar Nilai yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan asas, hotel ini hanya sejauh 15 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Selain hanya sekitar 40 minit perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketika ini, Hype Motorsports Hotel Nilai menawarkan 75 bilik yang direka unik melibatkan  susun atur kerusi, katil dan paparan grafik serta gambar berlatarbelakangkan aksi perlumbaan.

Beberapa buah bilik bertemakan lagenda permotoran dunia seperti pelumba pasukan Ferrari Formula Satu (F1) terkenal, Michael Schumacher. Tidak ketinggalan, pelumba motosikal terkemuka, Valentino Rossi; pelumba motocross Tony Cairoli, pemandu rali, Sebastian Loeb dan ramai lagi. Lebih menarik lagi, bilik legenda dan bilik “premier” dilengkapi kerusi urut untuk keselesaan pelanggan hotel.

Tiga kategori bilik ditawarkan iaitu Standard, Superior dan Family. Ia dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pendingin hawa kawalan individu, kunci pintu dengan kad sentuh, pengesan asap, akses internet Wi-Fi percuma serta televisyen yang lengkap dengan saluran siaran tempatan, saluran permotoran dan jadual harian penerbangan.

Kadar sewa semalaman adalah di antara RM150 hingga RM280.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Forte Hospitality Management, Johari Mohd Yusof memberitahu pihaknya mengambil masa beberapa bulan untuk melakukan kajian terperinci serta merancang tema yang sesuai. Mereka akhirnya mengambil keputusan untuk mengetengahkan konsep pemotoran.

“Setakat ini masih belum ada lagi mana-mana hotel di Malaysia atau di negara Asia yang menampilkan konsep dunia pemotoran. Jadi, ia memang peluang terbaik kepada kami untuk memperkenalkan konsep ini kepada rakyat Malaysia dan Asia.

“Kami juga merancang membuka beberapa lagi hotel dengan konsep sama di beberapa lokasi strategik seluruh negara, sekiranya menerima sambutan baik daripada orang ramai,” katanya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah terakhir menganjurkan Perlumbaan Formula Satu (F1) pada 29 September hingga 1 Oktober 2017. Hotel Hype Motorsports Nilai tidak mahu melepaskan peluang untuk menawarkan pakej lengkap kepada mereka yang berminat menyaksikan Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2017.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang lobi hotel, pengunjung pasti menyukai konsep yang diketengahkan. Daripada susun atur kaunter lobi, rekaan kerusi dan meja. Butik jualan produk berjenama terkenal dalam dunia permotoran turut disediakan.

Di ruang kafe di Paddock Club pula, ia menawarkan pelbagai pilihan hidangan makanan halal, menu popular dalam dan luar negara yang disediakan oleh chef berpengalaman meliputi hidangan sarapan pagi hingga makan malam.

Kafe itu boleh diubah suai sebagai ruang untuk apa jua jenis majlis seperti pelancaran produk baru, persembahan, aktiviti berkumpulan membabitkan syarikat korporat mahupun acara untuk seisi keluarga. Malah ruang lobi yang luas itu turut mampu meletakkan apa jua jenis kenderaan atau motosikal bagi tujuan pameran.

Kemudahan lain disediakan termasuk kolam renang di atas bumbung, perkhidmatan menyewa motosikal atau kereta, perkhidmatan mencuci kenderaan atau motosikal kepada penghuni hotel (bergantung kepada terma dan syarat).

Kemudahan ‘Pit Stop’ yang terletak dibahagian lobi pula menawarkan pelbagai pilihan barangan cenderahati seperti kemeja-T, topi, rantai kunci, mug dan aksesori asas untuk menunggang atau memandu.

Maklumat lanjut mengenai Hype Motorsports Hotel Nilai, sila layari laman web www.hypenilai.com. Untuk tempahan, sila hubungi talian 012-3796056 atau emel: [email protected]

Google ads
Back to top button