BuletinMotosikal

JAKE GAGNE GANTI NICKY HAYDEN – BERASAL DARI AS, JUGA DEBUT DI AS

Mencari pengganti bukan mudah terutama sekali untuk mereka yang mempunyai nama besar. Selepas pemergian Nicky Hayden akibat kemalangan basikal, pasukan Red Bull Honda World Superbike masih tetap bersaing dalam kejohanan FIM Superbike 2017 tetapi dengan hanya pelumba tunggal iaitu Stefan Bradl.

Pasukan ini sebenarnya baru sahaja ditubuhkan pada musim 2017 susulan penajaan Red Bull dalam pasukan Ten Kate. Ia mempunyai resipi untuk berjaya seperti sokongan kewangan, jentera hebat dan pelumba legenda Nicky Hayden yang berganding dengan Stefan Bradl yang membuat debut sulung dalam World SBK.

Tetapi tidak sampai pertengahan musim, Kentucky Kid telah pergi dahulu. Stefan Bradl berlumba solo dan nampaknya pasukan masih tidak menemui sentuhan yang menjadi, keputusan perlumbaan masih lagi hambar.

Dan kini, Red Bull Honda World Superbike telah menemui pelumba sementara iaitu Jake Gagne yang berusia 24 tahun. Apa yang menarik, seperti Nicky, Jake juga berasal dari Amerika Syarikat. Beliau adalah warga sejati California, dilahirkan dan dibesarkan di sana.

Lebih menarik apabila Jake bakal membuat penampilan sulung dalam WorldSBK juga di litar AS iaitu di Mazda Raceway Laguna Seca.

Litar itu yang juga popular di kalangan permainan video terletak di antara bandar Monterey dan Salinas.

Stefan Bradl baru sahaja berlumba dalam World SBK namun beliau sudah biasa berlumba di litar berjarak 3.610 km itu. Beliau telah menyertai dua perlumbaan GP AS pada tahun 2012 dan 2013. Prestasi yang paling cemerlang ialah memenangi tempat kedua di belakang Marc Marquez pada 2013.

Jake Gagne akan menggunakan motosikal Honda CBR1000RR Fireblade SP2 pada perlumbaan yang berlangsung hujung minggu ini. Beliau sebenarnya sudah biasa menggunakan motosikal itu tetapi dengan spesifikasi kejuaraan MotoAmerica.

Jake sebenarnya sedang bersaing dalam kejuaraan Superbike MotoAmerica dengan pasukan Genuine Broaster Chicken Honda. Buat masa sekarang, penyertaan Jake adalah one-off untuk pusingan kali ini sahaja.

BACA KISAH NICKY HAYDEN – THE KENTUCKY KID:

NICKY HAYDEN – SATU KENANGAN UNTUK LEGENDA

Google ads
Back to top button