Artikel PilihanBuletin

HYPERION XP-1 BAKAL DIPERKENALKAN BULAN HADAPAN DENGAN KUASA HIDROGEN

Kami dah cakap kan kini supercar dan hypercar baharu bakal muncul macam cendawan lepas hujan. Terbaru ialah supercar berkuasa hidrogen keluaran syarikat Hyperion dari California. Ia sepatutnya dilancarkan di New York Auto Show beberapa bulan lepas tetapi tertunda akibat wabak pandemic Covid-19.

Supercar ini bakal dikenali dengan nama XP-1 dan menggunakan hidrogen sebagai bahan api. Hyperion menyatakan yang ini akan membuka lembaran baharu dalam perkembangan dunia automotif dan bukan itu sahaja, ia juga bakal mengatasi kereta sports moden baik dari segi jarak operasi, masa isian semula, ketahanan dan kitar semula. Khususnya bila dibandingkan dengan kenderaan berkuasa bateri/elektrik hari ini.

Angelo Kafantaris selaku CEO dan salah seorang perintis Hyperion menyatakan yang mereka tidak sabar untuk mendidik orang awam tentang faedah yang ditawarkan oleh enjin berkuasa hidrogen.

Sebagai elemen yang paling banyak boleh didapati di sekitar alam semesta, potensi kuasa ini memang sangat besar. Pengenalan XP-1 diharap dapat menjadi pemangkin ke arah hari esok yang lebih bersih dan baik untuk generasi akan datang.

Walaupun video teaser sudah diedarkan tapi ia tidak menunjukkan supercar ini secara jelas. Tapi nasib baiklah ada beberapa gambar teaser yang boleh memberikan gambaran rupa paras supercar generasi baharu ni.

Bahagian hadapan XP-1 ini menampilkan sepasang lampu LED yang tipis dan gril yang berbentuk agak bulat. Arca rodanya agak menonjol selain garisan bumbung yang agak rendah. Sekali tengok memang ia sudah cukup sifat sebagai sebuah supercar dan harap-harapnya macam itulah.

Harap semua dapat bersabar kerana Hyperion XP-1 bakal didedahkan kepada umum bulan hadapan. Nama dah macam kapal angkasa dah tapi realitinya tiada siapa yang tahu lagi kecuali mereka yang terlibat dalam projek ini.

Google ads
Back to top button