Buletin

HYUNDAI BINA SANTA CRUZ UNTUK REBELLE RALLY

Rebelle Rally merupakan satu acara rali yang dianjurkan khusus untuk peserta perempuan yang bakal berlangsung pada tahun ini.

Hyundai tidak ketinggalan menyertai acara rali ini dengan menghantar sebuah jentera ‘rali’ yang menggunakan asas daripada trak pikap Hyundai Santa Cruz untuk menempuh laluan sejauh 2,500 km menerusi padang pasir Nevada dan California.

Untuk memastikan Santa Cruz ini mampu bertahan sejauh itu, juruteranya Eric Bruxton telah menjalankan beberapa modifikasi seperti kit angkat satu inci yang menjadikan jarak kelegaan tanah setinggi 8.6 inci.

Ini membolehkan Hyundai memasang rim Gear Offroad bersaiz 17 inci dengan tayar Falken Wildpeak All-Terrain 29.5 inci, dan tidak ketinggalan plet bawah badan untuk melindungi komponen bawah sewaktu merentas laluan yang sukar.

Kelengkapan off-road yang lain termasuklah bar lampu hadapan dengan cangkuk tunda, rak untuk mengangkut tayar dan penyodok, serta perlindungan hadapan yang turut dipertingkatkan.

Rebelle Rally akan berlangsung pada 6 Oktober ini dan berakhir pada 14 Oktober, di mana peserta tidak dibenarkan untuk menggunakan kemudahan GPS untuk menghabiskan perlumbaan.

Google ads
Back to top button