
PENAMAT RALI GROUP B – PERLUMBAAN RALI PALING HEBAT DI DUNIA
Dalam dunia perlumbaan rali, Group B akan sentiasa diingati sebagai perlumbaan paling hebat di dunia. Ia berlangsung pada tahun 80 an dan disertai oleh Lancia, Austin Rover, Audi, Porsche, Opel, Peugeot, Ford, Citroen, Toyota, Renault, Mazda, Ferrari and Nissan. Punyalah meriah tak macam sekarang yang boleh dibilang dengan jari jumlah penyertaannya.

Sebelum zaman internet dan televisyen berbayar, cara terbaik untuk menyaksikan perlumbaan rali ialah dengan menonton sendri di lokasi perlumbaan. Sebab itulah jutaan peminat rali sanggup berhujan dan berpanas untuk menyaksikan sendiri aksi-aksi secara langsung.
Di benua Eropah, ribuan penonton berbaris di sepanjang jalan dan golongan remaja bermain dengan bahaya. Mereka mencabar sesama sendiri untuk menyentuh jentera rali ketika ia bergerak. Gila punya permainan.

Pemandu rali pada masa itu menjadi pujaan ramai. Ye la, masa tu mana ada lagi pertandingan TV realiti yang serba menghina IQ orang cerdik tu. Pempengaruh? Tak wujud lagi masa ni. Semua orang pergi belajar di sekolah untuk berjaya.
Sehinggalah satu ketika jumlah penonton semakin ramai membanjiri laluan perlumbaan sehingga beberapa pelumba menyuarakan kebimbangan mereka. Bayangkan memandu dengan kelajuan mencecah 200 kmj tapi dengan pandangan terhalang kerana penonton berdiri di tengah laluan.
Setengah penonton mungkin mengalami serangan penyakit bodoh ataupun kehilangan akal yang kritikal bertindak berlari di tengah litar sewaktu jentera rali sedang memecut laju. Hinggalah pada satu ketika seorang jurugambar dilanggar oleh jentera Peugeot 205 Turbo kerana berada di tengah laluan selepas ditolak penonton lain.

Selepas insiden tersebut, pelumba terkenal Peugeot, Timo Salonen telah mengkritik penganjur di akhir perlumbaan namun tiada reaksi dari pihak penganjur. Susah jugak sebenarnya nak kawal penonton fanatik ni. Kalau batalkan silap-silap jadi rusuhan terus.
Insiden seterusnya melibatkan jentera Ford RS200 yang dipandu oleh Joaquim Santos dan Miguel Oliviera. Pada satu peringkat ketika mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi, seorang penonton melangkah masuk ke dalam laluan menyebabkan Santos terpaksa mengelak sekali gus kehilangan kawalan ke atas jentera RS200. Jentera Ford tersebut merempuh sekumpulan penonton menyebabkan 3 terbunuh dan 32 lagi cedera.
Menariknya selepas kemalangan tersebut, walaupun penganjur sudah dimaklumkan, sepuluh lagi jentera melepasi lokasi kejadian sebelum perlumbaan akhirnya dibatalkan dan bantuan segera dikejarkan untuk membantu mangsa-mangsa.

Di garisan penamat, kesemua pemandu dan pasukan masing-masing menandatangani petisyen untuk menarik diri dari perlumbaan jika tiada tindakan diambil untuk mengawal tingkah laku penonton.
Namun sekali lagi penganjur menunjukkan keangkuhan dengan menolak permintaan dan mengecam petisyen pelumba menyatakan mereka tidak mempunyai hak atas langkah keselamatan. Kesemua pasukan rasmi menarik diri dari perlumbaan.
Pada perlumbaan seterusnya, dua pelumba muda yang memandu Lancia telah terbunuh bila jentera mereka terjunam ke dalam gaung dan meletup. Insiden ini menambah lagi garam kepada insiden sebelum ini. Group B adalah terlalu laju, terlalu bahaya dan terlebih popular menyebabkan FIA mengambil langkah untuk tidak meneruskannya lagi selepas penghujung musim.
