Buletin

HYUNDAI IONIQ 5 N TA SPEC UNTUK ATTACK TSUKUBA, DIPANDU NOBUTERU TANIGUCHI

Hyundai nampaknya menggunakan sukan permotoran dan model berprestasi sebagai strategi penjenamaan di Jepun.

Hyundai sebelum ini memperkenalkan IONIQ 5 N DK Edition yang menerima sentuhan pelumba ikonik Jepun, Keiichi Tsuchiya atau turut dikenali sebagai Drift King.

Sebelum itu Hyundai dan Toyota menganjurkan Hyundai N x Toyota Gazoo Racing Festival di Korea.

Terbaru seorang lagi pelumba handalan Jepun iaitu Nobuteru Taniguchi diberi tanggung jawab untuk memandu Ioniq 5 N TA (Time Attack) Spec bagi mencipta rekod baharu kenderaan elektrik (EV).

Misinya? Bersaing di dalam Slick Attack Tsukuba 2025 di Litar Tsukuba di Jepun.

Beliau dan Ioniq 5 N TA akan memasuki Kelas Kereta Lumba dan Tayar.

Sebelum ini Mekanika melaporkan mengenai pelumba Hyundai World Rally, Dani Sordo memandu Ioniq 5 N TA di dalam Pikes Peak dengan mencatatkan masa 9 minit 30.852 saat dan memenangi exhibition class.

Litar Tsukuba yang terletak 60 kilometer dari Tokyo terkenal dengan acara perlumbaan masa Attack Tsukuba dan dianjurkan sejak 1994.

2024 Pikes Peak International Hill Climb June 23, 2024 Summit Raceday ©2024 Rupert Berrington Action Photography

Berbanding perlumbaan yang melibatkan sejumlah kereta serentak, perlumbaan masa diukur dari segi kedudukan masa terpantas.

IONIQ 5 N TA Spec dibangunkan untuk menonjolkan prestasi maksimum IONIQ 5 N dan menjalani beberapa pengubahsuaian untuk perlumbaan dan mengekalkan badan asas dan motor unit pengeluaran.

Hyundai membuat penalaan pada perisian bagi meningkatkan kuasa motor belakang sebanyak 37 ps dan kuasa akhir 687 ps.

Penyerap hentak diganti baharu dan brek menggunakan spesifikasi perlumbaan. Rim 18 inci dipasangkan tayar slick Yokohama ADVAN 005.

2024 Pikes Peak International Hill Climb June 23, 2024 Summit Raceday ©2024 Rupert Berrington Action Photography

Sebagai sebuah jentera perlumbaan masa, IONIQ 5 N TA Spec sarat dengan perkakasan aerodinamik yang begitu menonjol.

Nobuteru Taniguchi sebagai pemandu memiliki résumé yang hebat. Beliau juara tiga kali Super GT dalam kategori GT300.

Beliau juga hebat di dalam Super Taikyu dan merangkul lapan kejuaraan kelas dan enam daripadanya bersama pasukan Syntium Petronas.

Beberapa kejayaan tersebut turut dikongsi pelumba tempatan iaitu Melvin Moh, Dominic Ang dan Fariqe Hairuman.

Pemilihan beliau untuk perlumbaan masa juga dilihat tepat kerana sudah lima kali memegang rekod masa terpantas diTsukuba.

Penyertaan Hyundai di dalam Attack Tsukuba 2025 bukan sahaja untuk mencipta rekod EV tetapi menonjolkan keupayaan teknologi syarikat di kalangan pengguna Jepun dan global.

Google ads
Back to top button