HYUNDAI IONIQ 5 N TA SPEC UNTUK PIKES PEAK 2024!
Sebelum ini Hyundai mengesahkan penyertaan di dalam Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) 2024 dan terbaru mendedahkan kereta dan spesifikasi yang bakal digunakan beberapa minggu lagi.
Berentap di Pikes Peak dan mengejar masa bermakna spoiler depan sayap belakang perlu bersaiz mega. Hyundai menghantar dua buah IONIQ 5 N TA Spec dan dua buah IONIQ 5 N produksi.
Hyundai mahu mencipta rekod di dalam kategori Electric Modified SUV/Crossover dan Electric Production SUV/Crossover.
IONIQ 5 N TA Spec dibuat bagi menonjolkan kekuatan IONIQ 5 N tanpa mengubah perkakasan asas. Sistem kuasa elektrik (PE) dikekalkan dan memiliki kuasa 687 ps.
Kuasa jentera ditingkatkan melalui penalaan perisian bagi memaksimumkan prestasi. Kuasa motor belakang dinaikkan sebanyak 27 kilowatt (37 hp).
Satu lagi yang menarik ialah penonton dapat menikmati bunyi N Active Sound+ dengan pembesar suara yang diubah suai (melebihi 120 dB).
Bukan saja-saja, Hyundai N mengubahnya bagi mempertingkatkan lagi maklum balas kepada pemandu dan menggantikan ‘siren’ yang biasa untuk kereta lumba elektrik Pikes Peak.
Penyerap hentak diganti baharu dan menggunakan brek spesifikasi permotoran dan tayar lumba (slick) Yokohama ADVAN 005 saiz 18 inci.
Perkakasan keselamatan terdiri daripada kerusi Recaro Pro Racer SPA Hans, tali pinggang keledar Sabelt enam sudut, rangka keselamatan spesifikasi Pikes Peak dan sistem pemadaman api EV.
Bukan calang-calang pemandu yang Hyundai hantar. Robin Shute adalah juara keseluruhan Pikes Peak sebanyak empat kali dan pemegang semasa King of the Mountain.
Seorang lagi pemandu IONIQ 5 N TA Spec ialah Dani Sordo yang mewakili Hyundai Motorsport di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).
IONIQ 5 N produksi dipandu Paul Dallenbach, pemenang 11 kali Pikes Peak dan tiga kali memegang gelaran King of the Mountain.
Personaliti media, Ron Zaras memandu sebuah lagi kereta dan pertama kali menyertai Pikes Peak.
Perlumbaan ke awan melibatkan laluan sepanjang 20 kilometer dan mendaki melebihi 4,700 kaki sehingga ke puncak.
Terdapat 156 selekoh dengan pemandu dan kereta perlu mengharungi cuaca yang berubah-ubah dan altitud yang tinggi.
Hyundai tidak asing di dalam Pikes Peak dan pertama kali bersaing pada 1992. Ron Millen memenangi kategori 2-Wheel Drive Showroom Stock dengan masa 13:21.17 minit.
Beliau memandu Hyundai Scoupe yang digerakkan enjin Alpha turbo. Satu lagi kejayaan manis Hyundai ialah rekod yang dicatatkan Rhys Millen dengan masa 9:46.164 menggunakan Genesis Coupe.
Spesifikasi IONIQ 5 N TA (Time Attack) Spec:
Sistem kuasa elektrik (PE)
- Sistem PE IONIQ 5 N produksi
- Motor sehingga 687 ps (penalaan perisian)
- Bateri 84 kWj
- Penyongsang silikon karbida dua peringkat
Sistem pengecasan
- Sistem pengecasan IONIQ 5 N produksi
- 800V, 400V sistem pelbagai pengecasan
- Kelajuan pengecasan tertinggi: 350kW
- Tempoh pengecasan 10 – 80% dalam masa 18 minit
Suspensi dan brek
- Penyerap hentak tiga larasan
- Larasan ketinggian dan kamber
- Angkup brek dan pad brek perlumbaan (6 omboh depan, 4 omboh belakang)
Luaran
- Pakej aerodinamik eN1 untuk PPIHC (Pikes Peak)
- Rim perlumbaan 18 inci 11J
- Tayar lumba Yokohama ADVAN 005