
HYUNDAI IONIQ AKAN DIBINA DENGAN TEKNOLOGI ELEKTRIK SEPENUHNYA
Satu masa dulu tak siapa sangka ada orang akan berani untuk bersaing kepala dengan kepala (head to head) dengan Toyota Prius. Prius sangat berjaya, sangat popular, sangat laris dan sangat ke depan teknologinya.
Sehinggalah Hyundai memperkenalkan Ioniq, model yang memang dicipta untuk bersaing dengan Prius. Pun begitu, Hyundai nampaknya ingin terus ke depan dan menurut Senior VP Hyundai, Lee Ki Siang, mereka akan bina kereta elektrik sepenuhnya berasaskan Ioniq.
Sekali lagi, tiada siapa yang mimpi untuk buat sebuah kereta elektrik yang terkenal dengan masalah jarak perjalanan yang pendek. Kecuali Tesla yang mampu catat sehingga 480km sekali cas sementara Kia Soul, Mitsubishi i-Miev dan Nissan Leaf cuma catat bawah 200km.
Hyundai mungkin lambat tetapi mereka bersedia dengan teknologi terbaik. Lihat saja pada Ioniq, platform pengendaliannya bagus, bateri lithium-ion dan kitaran pengecas antara enjin petrol dan motor elektriknya yang konsisten.
Secara teorinya juga, Ioniq perlu dibekalkan dengan bateri yang lebih besar di bahagian lantai, satu-satunya posisi paling ideal untuk menempatkan “hamparan” bateri dengan kapasiti besar. Lebih besar bateri, lebih tinggi jarak perjalanannya.
Bagi Hyundai, mereka mensasarkan jarak sehingga 300km untuk sekali cas kerana menerusi kajian yang dijalankan, ia adalah jarak yang ideal untuk sebuah kereta berteknologi EV sepenuhnya.
Mereka akan memanfaatkan peluang dalam industri dan akan membinanya untuk tempoh dua tahun akan datang. Abang Japar percaya satu hari nanti, Hyundai akan jadi pemain utama dalam industri automotif. Bayangkan kalau mereka boleh hasilkan jarak perjalanan seperti Tesla tapi harga Hyundai Matrix.
Mati semua pengeluar kereta enjin petrol!
BACA: PANDU UJI HYUNDAI IONIQ – BERBALOI!
BACA: VARIAS ASAS TESLA MODEL S