
HYUNDAI KONA ELECTRIC BAKAL DILANCARKAN PADA NOVEMBER. HARGA BERMULA BAWAH RM150K!
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mengesahkan bahawa ia akan melancarkan Kona Electric pada November ini, sekali gus menjadi kereta elektrik pertama Hyundai dipasarkan di Malaysia.
Kona Electric akan ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa iaitu bateri berkapasiti 64kWh dengan jarak perbatuan sejauh 484km. Manakala bateri berkapasiti 39.2kWh pula menawarkan jarak sejauh 305km dengan sekali caj, berdasarkan kepada ujian Worldwide Harmonised Light Vehicle Test (WLTP).
Kedua-dua varian itu dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang berupaya menjana 204PS dan tork 395Nm. Kuasa itu membolehkan Kona Electric memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 7.9 saat.

Apa yang paling menarik ialah harganya dijangka bermula bawah RM150,000 berikutan pengecualian cukai import dan duti eksais ke atas kereta elektrik yang diumumkan oleh kerajaan dalam bajet baru-baru ini.
Jika menggunakan pengecasan pantas (DC) 100kW, masa mengecas Kona Electric dari 0 ke 80 peratus hanya mengambil masa 47 minit. Pembeli akan ditawarkan dengan pilihan pengecasan on-board tiga fasa 11kW yang menawarkan tempoh mengecas lebh pantas seperti stesen pengecasan awam atau menggunakan wall box yang bersesuaian di rumah.
Pemilik juga boleh mengecas kereta menggunakan soket kuasa yang biasa terdapat di rumah bersama kabel ICCB (in-cable control box).

Penampilan Kona Electric tidak jauh berbeza dengan model Kona facelift. Ia hadir dengan rekaan bampar, lampu utama, rim, lampu DRL dan warna baharu yang membuatkannya lebih sofistikated. Paling ketara pastinya gril radiatornya kini tertutup rapat berikutan ia tidak mempunyai enjin.
Terdapat tiga varian yang boleh dipilih iaitu Kona Electric e-lite 39.2 kWh, Kona Electric e-plus 39.2 kWh dan Kona Electric e-max 64 kWh. Anda sudah boleh membuat tempahan menerusi platform Cl!ck to Buy dengan yuran tempahan hanya RM1,000.
Tunggu apa lagi?