
GOGORO DAN GOJEK UMUM KERJASAMA DI INDONESIA
Pengeluar dan penyedia perkhidmatan motosikal elektrik pintar dari Taiwan, Gogoro dilihat semakin agresif untuk mengembangkan pengaruhnya di pasaran motosikal terbesar di dunia.
Selepas menandatangani perjanjian untuk membekalkan motosikal elektrik di Jepun dan India, Gogoro mula melihat pasaran Asia Tenggara atau lebih tepat lagi, Indonesia. Pada 2 November lalu, Gogoro dan Gojek telah mengumumkan pelan untuk mengelektrifikasikan pengangkutan dua roda di seluruh republik berkenaan.
Jika anda masih ingat pada Mei lalu, Gojek ada mengumumkan rancangannya untuk menjadi sebuah syarikat elektrik dan mapan sepenuhnya menjelang tahun 2030. Pada masa itu, ia tidak menyatakan secara spesifik tentang bagaimana matlamat tersebut dapat dicapai.
Syarikat minyak milik kerajaan Indonesia, Pertamina juga menjadi aspek penting dalam kerjasama di antara Gojek dan Gogoro. Ini pelan yang dikemukakan oleh kedua-dua syarikat berkenaan. Pertama, mereka akan memulakan projek perintis di Jakarta yang melibatkan 250 unit skuter Gogoro Smartscooter dan empat stesen penukaran bateri GoStation.
Pelan terkini adalah untuk meningkatkan kapasiti tersebut kepada 5,000 unit skuter dengan penambahan GoStation di stesen minyak Pertamina sekiranya perlu.
“Salah satu cabaran paling besar sekarang, sama ada di Indonesia atau di mana-mana sahaja di dunia ialah menukar pengangkutan di bandar kepada motosikal elektrik pintar dan lestari yang boleh diakses oleh semua orang. Dengan kerjasama Gojek dan sokongan kerajaan Indonesia, kami berada di landasan yang betul untuk merealisasikan impian ini.
“Penukaran bateri skuter Gogoro merupakan cara baharu yang menawarkan satu platform terbuka untuk pembuat motosikal memperkenalkan jentera elektrik yang tenaga baterinya boleh diperoleh dengan pantas dan selamat,” kata Ketua Pegawai Ekskutif Gogoro, Horace Luke.